REZAL akui laluan berliku tunggu TRW.
REZAL akui laluan berliku tunggu TRW.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali The Red Warriors (TRW), Rezal Zambery Yahya lebih selesa jika pasukannnya terus dilihat sebagai 'underdog' bagi mengelak barisan pemain menghadapi tekanan dalam kempen Piala Malaysia bermula hujung bulan ini.

Rezal Zambery berkata, walaupun pertemuan pertama saingan Piala Malaysia bakal bertemu kelab di tangga kedua tercorot Liga Super iaitu Sarawak United, mereka tetap harus berwaspada bagi mengelak 'terjerat' dengan kebangkitan pasukan terbabit.

Beliau berkata, ketika ini barisan kejurulatihan dalam usaha mempersiapkan pasukan supaya berada pada tahap optimum selain merangka strategi bagi memerangkap lawan kelak.

"Pada pandangan saya beraksi dengan pasukan Liga Super seharusnya lebih berwaspada walaupun berada di tangga tercorot kerana seperti sedia maklum perlawanan diharungi mereka lebih kompetitif.

"Pada masa sama, kita lebih selesa dianggap sebagai pasukan 'underdog' supaya tidak hadap banyak tekanan namun tetap berusaha mencari ruang untuk melangkah ke pusingan seterusnya.

"Jika melihat kepada keseluruhannya, pada saya semua perlawanan sama saja dan ketika ini pemain lebih bermotivasi untuk meraih keputusan positif," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Selain itu, ketika ditanya TRW bakal menjadi pasukan 'The Giant Killer' atau pembunuh gergasi, Rezal Zambery berkata, situasi terbabit bukan mudah untuk dilakukan kerana rata-rata pasukan Liga Super cukup liat untuk ditewaskan.

"Saya yakin pemain sudah pastinya mahu mencipta kemenangan walaupun berhadapan dengan pasukan lebih hebat kelak," katanya.

Laluan TRW bukanlah mudah kerana jika berjaya menumpaskan Sarawak United, kelab milik Norizam Tukiman itu akan bertemu pemenang antara Petaling Jaya City (PJ City) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di pusingan berikut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 6:17 PM