BRENDAN (tiga dari kanan) tidak mahu memikirkan mengenai lilitan ketua pasukan dan hanya mahu fokus memberikan yang terbaik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
BRENDAN (tiga dari kanan) tidak mahu memikirkan mengenai lilitan ketua pasukan dan hanya mahu fokus memberikan yang terbaik. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tonggak kacukan dan bekas ketua pasukan di era kendalian Tan Cheng Hoe sebelum ini, Brendan Gan enggan memikirkan soal lilitan lengan apabila dipanggil buat pertama kali oleh Kim Pan-gon ke dalam latihan pusat skuad Harimau Malaya.

Brendan, 34, kembali ke pangkuan skuad negara selepas setahun disisihkan ekoran menghadapi kanser testis yang menyebabkan dia terpaksa berehat seketika.

Namun, sebaik disahkan pulih sepenuhnya awal tahun ini, pemain tengah berdarah Australia-Malaysia itu kembali berusaha mendapatkan sentuhannya terutama bersama Selangor FC dalam saingan Liga Malaysia.

Akhirnya, aksi konsisten diperagakan Brendan itu berjaya memikat perhatian Pan-gon yang dilantik bagi menggantikan Cheng Hoe Mac lalu.

Jelas arkitek tengah itu, dia gembira dapat kembali menguatkan skuad Harimau Malaya selepas tidak terpilih pada kempen Kelayakan Piala Asia Jun lalu.

Katanya, dia tidak mahu memikirkan tentang lilitan ketua pasukan dan hanya mahu fokus memberikan yang terbaik buat pasukan.

"Ini adalah satu penghormatan untuk kembali semula mewakili negara selepas pelbagai cabaran yang saya lalui, saya tak sabar untuk berikan yang terbaik pada kejohanan Piala Raja Thai nanti.

"Ketika ini kesihatan saya berada dalam keadaan yang baik, cuma perlu melakukan beberapa pemeriksaan kesihatan beberapa bulan," katanya pada sesi latihan pertama skuad negara semalam.

Tambahnya lagi, dia mengakui teruja untuk bermain di bawah tunjuk ajar Pan-gon yang mengamalkan gaya permainan agresif dan cukup bertenaga.

"Mereka bermain hard pressing dengan intensiti tinggi, itu adalah bola sepak yang saya mahu main.

"Saya harap saya dapat faham apa beliau (Pan-gon) mahukan dan sesuaikan diri dengan pantas bersama rakan-rakan," katanya.

Di saingan Piala Raja Thai di Chiang Mai itu nanti, Malaysia akan turun menentang Thailand pada 22 September ini dan satu lagi aksi menemukan antara Trinidad & Tobago dan Tajikistan.

Pasukan yang kalah perlawanan itu akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat, manakala dua pasukan yang menang perlawanan pertama akan bertemu di final dengan kedua-duanya berlangsung pada 25 September.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 September 2022 @ 3:56 PM