PEMAIN Harimau Malaya bersorak selepas menewaskan Thailand pada aksi Piala Raja Thai ke-48. FOTO FB FAM
PEMAIN Harimau Malaya bersorak selepas menewaskan Thailand pada aksi Piala Raja Thai ke-48. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Misi untuk berada pada kedudukan ranking 100 dunia atau sekurang-kurangnya menyamai posisi seperti Tajikistan dan Thailand dilihat tidak mustahil serta bukan sebuah cerita dongeng.

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata, berdasarkan pemerhatiannya selepas berakhirnya kempen Piala Raja Thai ke-48 di Chiang Mai, beliau menyimpulkan Malaysia sebenarnya mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan dua pasukan itu.

Kata jurulatih dari Korea Selatan itu, beliau menyasarkan dua tahun dari sekarang iaitu 2024 untuk meletakkan pasukan negara di kelompok 100 dunia.

"Saya minta mereka (pemain) buktikan dalam pertandingan (Piala Raja Thai) ini untuk cuba bagi tentangan dengan pasukan yang pada tahap lebih tinggi di kedudukan 100.

"Jadi pemain tunjukkan yang mereka sebenarnya mampu dan kita boleh maju ke depan dan bersaing dengan pasukan lawan. Saya yakin untuk dua tahun lagi kita boleh capai tahap seperti itu," katanya yang dilantik sebagai pengendali negara pada Mac lalu bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatan, awal tahun ini.

Dalam saingan di Chiang Mai itu, skuad negara yang menghuni tangga ke-148 dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) hampir mengejutkan Thailand serta Tajikistan apabila mengikat kedua-dua pasukan itu.

Thailand yang berada di kedudukan 111 diikat Malaysia 1-1 dalam aksi pertama sebelum menang penentuan penalti 5-3 untuk mara ke final berdepan Tajikistan.

Di pentas akhir, lawan yang di tangga 109 itu turut gagal menewaskan skuad kendalian Pan-gon apabila seri tanpa jaringan, namun muncul pemenang menerusi penentuan sepakan penalti.

Dua keputusan positif itu bakal menyaksikan kedudukan pasukan negara melonjak naik untuk memperbaiki kedudukan ketika ini.

Setakat ini, Pan-gon sudah mengharungi sembilan perlawanan dengan lima kemenangan, dua seri dan dua kali tewas.

Dua kekalahan itu adalah kepada Bahrain pada Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional BUkit Jalil, Jun lalu serta di tangan Singapura dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional Singapura, hujung Mac lalu.

Untuk rekod, skuad Harimau Malaya pernah menghuni tangga ke-75 dunia pada 1993 yang dianggap kedudukan paling tinggi pernah diraih, manakala tangga 178 adalah pencapaian paling buruk dicatatkan pasukan negara pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 5:23 PM