SUMAREH dikecam pada aks final Piala Raja Thai. FOTO FAM
SUMAREH dikecam pada aks final Piala Raja Thai. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bekas pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe berharap tonggak naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh tidak patah semangat dengan kritikan yang dilemparkan ke atas dirinya susulan prestasi hambar ketika beraksi di Piala Raja Thai, baru-baru ini.

Cheng Hoe, 54, adalah individu yang bertanggungjawab membuka pintu kepada Sumareh untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada 2018 lalu.

Impak segera yang di bawa oleh pemain sayap yang turut dikenali dengan panggilan 'Keli Boy' itu cukup besar apabila berjaya membantu skuad kendalian Cheng Hoe mara ke final Piala AFF sebelum tumbang di tangan Vietnam.

Lantas, Cheng Hoe yang kini melatih Selangor FC sememangnya amat mengenali Sumareh dan beliau menegaskan, pemain naturalisasi pertama negara itu memiliki kualiti untuk membantu pasukan negara jika dia dapat kembali kepada prestasi sebenarnya.

"Ialah saya tak boleh komen mana-mana jurulatih, setiap jurulatih ada dia punya falsafah dan resepi bagaimana untuk membimbing pasukan.

"Saya harap selamat maju jaya buat Sumareh dan sudah tentu saya rasa sumbangan dia terlalu besar, memang boleh membantu pasukan. Tetapi ia bergantung kepada diri sendiri, bagaimana dia tangani tekanan daripada luar atau daripada pasukan.

"Sudah tentu saya harap dia bersedia apa juga situasi," katanya yang pernah berdepan situasi sama sebelum ini apabila penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula dikecam hebat oleh penyokong ketika beliau melatih pasukan negara.

Terdahulu, skuad kendalian Kim Pan-gon muncul naib juara di belakang Tajikistan yang menang menerusi penentuan sepakan penalti 0-3 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa sebenar di perlawanan akhir Piala Raja Thai, Ahad lalu.

Namun apa yang lebih mencuri perhatian disebalik keputusan itu adalah aksi longlai Sumareh, dengan segelintir netizen di laman sosial menghentam pemain kelahiran Gambia itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 4:32 PM