SYAFIQ (kiri), Safawi dan Cools dinamakan sebagai ketua pasukan bagi Piala Raja Thai Ke-48. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
SYAFIQ (kiri), Safawi dan Cools dinamakan sebagai ketua pasukan bagi Piala Raja Thai Ke-48. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Lilitan kapten skuad Harimau Malaya bertukar tangan apabila pengendali pasukan kebangsaan Kim Pan-gon melantik individu yang 'berpengaruh' untuk memimpin pada perlawanan Piala Raja Thai yang akan bermula Khamis ini.

Menerusi kenyataan media Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa Pan-gon melantik tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) Safawi Rasid bersama rakan sepasukannya Syafiq Ahmad untuk memegang tanggungjawab sebagai kapten skuad Harimau Malaya.

Seorang lagi pemain yang akan menggalas tanggungjawab itu adalah pemain FK Jablonec Dion Cools sekali gus menyaksikan skuad Harimau Malaya dipimpin individu berpengaruh.

Mengikut rekod, Syafiq dan Dion sebelum ini bersama penjaga gol, Farizal Marlias dan Safiq Rahim adalah empat kapten Harimau Malaya ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023, Jun lalu.

Namun, ketiadaan Farizal dan Safiq bagi kem latihan pusat kali ini, Safawi dinamakan sebagai pengganti untuk membentuk gandingan tiga kapten Harimau Malaya untuk ke Chiang Mai.

Ketika ini, Malaysia berada pada landasan terbaik untuk mengekalkan tahap fizikal dan mental terutama dalam usaha meraih keputusan positif di kejohanan Piala Raja Thai.

Mengikut rekod, skuad kebangsaan ketika ini dalam rangka persiapan menghadapi Piala Raja Thai Ke-48, 2022 di Chiang Mai, Thailand bermula Khamis ini hingga 25 September.

Pasukan negara akan berdepan tuan rumah dalam perlawanan pertama sebelum menentang sama ada Trinidad & Tobago atau Tajikistan dalam penentuan tempat ketiga atau final di Stadium Ulang Tahun Ke-700, Chiang Mai.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 2:04 PM