LUQMAN (dua dari kiri) mungkin tidak akan kembali ke Malaysia dalam masa terdekat. FOTO Bernama
LUQMAN (dua dari kiri) mungkin tidak akan kembali ke Malaysia dalam masa terdekat. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya empat kelab Liga Malaysia (Liga M) berminat untuk membawa pulang penyerang sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsudin musim depan.

Antara kelab yang dikaitkan adalah Kuala Lumpur City FC, Selangor FC, Kelantan FC dan Perak FC.

Menurut sumber, tawaran berkenaan sememangnya ada namun ia terpulang kepada Luqman dan kelabnya ketika ini, KV Kortrijk untuk menerima atau tidak.

Walaupun begitu, katanya untuk Luqman pulang dalam masa terdekat ini mungkin tidak menjadi kenyataan kerana pemain yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu lebih dilihat mahu kekal beraksi di luar negara.

"Memang ada kelab Liga M yang berminat terutamanya seperti KL City. Pasukan Selangor pula kita tahu ada hubungan yang baik dengan Luqman, manakala Kelantan pula baru-baru ini ada menyatakan hasrat untuk bawa dia pulang.

"Tapi saya fikir buat masa terdekat ini mungkin Luqman tidak akan pulang kerana dia masih muda dan mungkin akan terus kekal di Belgium hingga kontrak lima tahunnya tamat dulu.

"Atau mungkin juga dia akan berhijrah bermain di negara lain untuk dia mendapatkan peluang bermain dan meraih minit permainan yang banyak," katanya kepada Arena Metro.

Luqman, 20, muncul pemain tempatan pertama menandatangani kontrak bersama kelab utama Eropah apabila memilih KV Kortrijk di Belgium selama lima musim bermula 2020.

Selepas dua tahun di sana, Luqman dilihat lebih banyak beraksi bersama skuad bawah 21 (B-21) kelab terbabit dengan dia sudah merekodkan beberapa gol buat pasukan.

Ujar sumber itu lagi, jika rezeki Luqman kekal di luar negara kemungkinan antara destinasi seterusnya di Liga Jepun.

"Kalau dia nak cari cabaran luar mungkin Jepun pilihan seterusnya. Kerana kita tahu kualiti Liga Jepun cukup tinggi dan mungkin di sana, dia akan dapat semula sentuhan lamanya yang pernah dinobatkan antara pemain muda berbakat.

"Kita semua nak lihat dia kembali menyinar dan oleh sebab itu, semua pihak terutamanya peminat dan penyokong bola sepak negara perlulah sentiasa menyokong dan beri semangat kepadanya. Kita doakan sama-sama untuknya," katanya.

Pada 2019 lalu, media antarabangsa iaitu The Guardian pernah menyenaraikan Luqman dalam senarai 60 pemain muda terbaik dunia berdasarkan aksi lincahnya ketika di Kejuaraan AFC B-16 pada 2018 serta AFF B-18 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 9:07 PM