NORIZAM bercakap pada sidang media Majlis Menandatangi Pemilikan Saham The Red Warriors FC Berhad di Hotel Zamburger, Jumaat lalu. FOTO Bernama
NORIZAM bercakap pada sidang media Majlis Menandatangi Pemilikan Saham The Red Warriors FC Berhad di Hotel Zamburger, Jumaat lalu. FOTO Bernama
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: "Besar padang bola, sebesar stadium saya hidangkannya", itu kata pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman yang sedia menawarkan tempat buat penyerang sensasi muda negara, Luqman Hakim Shamsudin untuk beraksi buat negeri kelahirannya itu musim depan.

Jelas Norizam atau lebih dikenali dengan panggilan Zamsaham, beliau tidak bermasalah untuk membawa pulang pemain berusia 20 tahun itu yang kini beraksi di Belgium bersama kelab KV Kortrijk sejak dua musim lalu.

Katanya, ia terpulang kepada Luqman dan pihaknya mengalu-alukan kehadiran bintang muda negara itu jika berhajat untuk beraksi dengan skuad The Red Warriors yang bakal beraksi di Liga Super musim depan.

"Saya sedia menerima Luqman Hakim bila-bila masa saja. Jika beliau mahu bersama kita untuk musim 2023 'besar tapak tangan nyiru ditadahkan' atau besar padang bola, sebesar stadium saya hidangkannya.

"Kena tanya tuan badan sendiri samada mahu atau tidak. Dari tiada minit permainan di sana, lebih baik main di Kelantan yang sudah pasti akan mendapat minit permainan yang banyak," katanya ketika ditemui di sini, Jumaat lalu.

Luqman yang mengikat kontrak selama lima tahun dengan KV Kortrijk pernah disenaraikan antara 60 pemain muda paling berbakat di dunia pada 2019 lalu oleh media antarabangsa The Guardian.

Begitupun disebabkan kesukaran mendapat tempat dalam pasukan, Luqman dilihat lebih banyak memanaskan bangku simpanan dan sekadar beraksi untuk skuad pembangunan kelab terbabit.

Ujar Norizam lagi, beliau terbuka untuk menerima mana-mana anak jati Kelantan yang beraksi di luar negara berhasrat mahu bermain bersama pasukannya.

Malah jelasnya, jika kepulangan Luqman atau mana-mana pemain kelahiran Kelantan pulang sudah tentunya penyokonglah yang paling gembira.

"Mungkin ada pemain-pemain anak jati Kelantan yang beraksi di luar negara dipersilakan untuk berbakti di Kelantan di musim 2023.

"Penyokong nak tengok benda ini, jadi kalau benda itu jadi kenyataan saya rasa saya seronok dan juga penyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 2:14 PM