ASENSIO (kiri) berjaya menyumbang tiga gol buat Real ketika membelasah Mallorca 6-1. FOTO AFP
ASENSIO (kiri) berjaya menyumbang tiga gol buat Real ketika membelasah Mallorca 6-1. FOTO AFP
AFP

Madrid: Marco Asensio meledak hatrik pertama dengan Real Madrid ketika berdepan Mallorca, kelab di zaman kanak-kanaknya untuk membantu Real menang 6-1 sekali gus melonjak ke tangga teratas La Liga.

Karim Benzema menghukum kesilapan awal Mallorca di Santiago Bernabeu sebelum tiga gol dalam tempoh lima minit membolehkan Real mendahului 3-1, dengan dua jaringan disumbangkan Asensio dan Lee Kang In meledak gol untuk Mallorca.

Asensio melengkapkan hatrik pada separuh masa kedua hasil rembatan lencong dan mendapat penghormatan daripada penyokong ketika dikeluarkan, meninggalkan Benzema untuk meledak gol kedua dan Isco menjaringkan gol keenam Real di akhir saingan.

Gol kedua Benzema adalah jaringan ke-200 di La Liga, membolehkannya berada dalam senarai 10 pemain yang meraih pencapaian berkenaan.

"Jelas Karim bermain dengan baik. Bukan saja untuk dirinya tapi kepada pasukan. Dia adalah seorang penyerang yang lengkap," kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti.

Kemenangan itu membolehkan Real du mata mengatasi Atletico untuk berada di puncak liga, manakala Sevilla di kedudukan ketiga selepas mereka mudah mengatasi Valencia 3-1.

Asensio lahir di Palma dan mula beraksi untuk Mallorca seawal usia 10 tahun, sebelum menyertai Real Madrid pada 2016.

Dia menolak untuk meraikan setiap tiga gol berkenaan namun berjaya memuaskan hati Ancelotti, yang memberikan peluang buat pemain berusia 25 tahun itu berada dalam kesebelasan utama kali pertama musim ini.

"Asensio berjaya melaksanakan tugas dengan baik. Ia memang benar dari posisi berkenaan dia mampu untuk membuatkan lawan terseksa, malah dia mempunyai kualiti yang banyak," kata Ancelotti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 9:24 AM