PEMAIN Real meraikan gol yang disumbangkan Luka Jovic. FOTO EPA
PEMAIN Real meraikan gol yang disumbangkan Luka Jovic. FOTO EPA
AFP

Madrid: Real Madrid mengukuhkan kedudukan di tangga teratas La Liga dengan kelebihan lapan mata selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Real Sociedad namun kemenangan mereka dibelenggu kecederaan yang menimpa Karim Benzema.

Carlo Ancelotti berkata, Benzema bakal terlepas aksi Liga Juara-Juara di laman sendiri menentang Inter Milan Rabu ini namun beliau berharap penyerang itu dapat kembali beraksi berdepan Atletico Madrid hujung minggu depan.

Kemenangan lapan berturut-turut terbukti ternyata berharga buat Real selepas kedua-dua Atletico dan Barcelona tumpas.

Atletico kalah kepada Mallorca 1-2, manakala Barca tumpas 0-1 di tangan Real Betis, kekalahan pertama mereka di bawah bimbingan Xavi Hernandez.

Barcelona kekal di tangga ketujuh, 16 mata di belakang Real, manakala Atletico tergelincir ke tangga keempat, enam mata di depan Barca.

"Kami mempunyai kelebihan namun saingan kejuaraan liga masih lagi terbuka. Kami tidak boleh fikir sekarang mengenai juara La Liga, saya tidak mahu semua orang memikirkan perkara ini," kata Ancelotti.

Barcelona dan Atletico sekarang ini harus memberi tumpuan kepada saat genting Liga Juara-Juara untuk aksi peringkat kumpulan pertengahan minggu depan.

Barca perlukan kemenangan di Bayern Munich untuk memastikan tempat 16 terakhir dan mereka mungkin tidak dapat menurunkan Gavi selepas pemain tengah itu di bawah ke hospital akibat kecederaan kepala.

Atletico pula perlu mengalahkan Porto di Portugal bagi membuka peluang mara ke peringkat seterusnya.

Real yang akan berdepan Inter untuk menentukan juara Kumpulan D, sudah pasti tidak dapat membariskan Benzema.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 11:29 AM