ZAINAL berharap Harimau Kumbang dapat segera bangkit kembali untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan seterusnya. FOTO IZZALI ISMAIL
ZAINAL berharap Harimau Kumbang dapat segera bangkit kembali untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan seterusnya. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar : Ketua Jurulatih Penang FC Zainal Abidin Hassan meluahkan rasa kecewa apabila skuad Harimau Kumbang kendaliannya gagal menyempurnakan beberapa peluang gol yang terhidang yang membolehkan Penang bangkit dari siri kekalahan selepas tewas kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 0-1 di Stadium Darul Aman semalam.

Pengendali penuh berpengalaman dalam arena bola sepak negara ini berkata, kegagalan mencipta gol menjadi antara faktor skuad Harimau Kumbang terus kempunan dalam misi kebangkitan yang mereka usahakan.

"Bila kita perlukan mata yang penting, kita telah mempersia-siakan peluang yang ada, walaupun saya tak nafikan mereka telah bermain dengan baik.

"Pemain telah bertungkus lumus, bekerja kuat, tampil dengan sungguh berdisiplin mencari peluang dan juga telah bertahan dengan baik, tetapi semua itu tidak mencukupi untuk memenangi sesuatu perlawanan.

"Saya sebagai jurulatih kena tekankan perkara ini kerana walaupun kita bermain dengan bagus, namun untuk mendapatkan jaringan gol itu adalah perkara yang amat penting," katanya.

Zainal juga berkata beliau masih melihat terdapatnya kelemahan ketara dibahagian serangan itu dan cuba mengatasinya dengan secepat mungkin dalam sesi latihan selepas ini.

"Hari ini sepatutnya pujian perlu diberikan kepada pemain Penang FC dengan cemerlangnya jika mereka dapat menjaringkan gol, namun kita masih lagi nampak ada kelemahan di sini yang perlu diperbaiki dalam pasukan ini.

"Selepas kalah berturut-turut, kami sebenarnya bersungguh-sungguh mahu mencari kemenangan, jadi saya tahu apa di dalam hati mereka dan bukan mudah untuk mendapatkan tahap keyakinan selagi pasukan ini tidak menang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 September 2022 @ 4:22 PM