EL Helwe Hilal mempamerkan aksinya bersama skuad Penang FC ketika menentang KDA FC semalam. FOTO Ihsan Penang FC
EL Helwe Hilal mempamerkan aksinya bersama skuad Penang FC ketika menentang KDA FC semalam. FOTO Ihsan Penang FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Pengendali Penang FC (PFC), Tomas Trucha percaya skuad Harimau Kumbang tetap bersedia memberi saingan terbaik walaupun kehilangan dua tonggak utama yang digantung perlawanan sebaik memasuki jadual aksi perlawanan Liga Super pada musim ini.

Ketua Jurulatih kelahiran Republik Czech itu berkata, di sebalik kehilangan dua tonggak utama iaitu Casagrande dan Endrik yang masing-masing digantung sebulan dan dua minggu selepas insiden pergaduhan pada aksi persahabatan di Terengganu, Penang FC tetap tidak patah semangat dalam membawa misi kemenangan pada saingan liga yang akan bermula minggu depan.

"Sejak Disember kami berusaha untuk mencari kombinasi dan keserasian yang diharapkan antara pemain dan pada minggu lalu selepas pasukan ini lengkap, kini kami berusaha untuk mengatasi ketiadaan dua tonggak utama itu yang mana ini adalah sebahagian dari cabaran yang perlu kami hadapi.

"Kami memerlukan pemain yang dapat menggalas tugas gantian itu dan saya harap mereka mampu melakukannya.

"Kami memiliki 27 pemain dan empat penjaga gol, jadi semua pemain perlu bersedia dan segala kemungkinan boleh berlaku jika dan kita boleh lihat kami juga pernah mengalami perkara di mana pemain utama kami tak dapat beraksi dalam beberapa perlawanan pada musim lalu." katanya sebaik tamat perlawanan pramusim menentang Kedah Darul Aman (KDA FC) yang berkesudahan seri tanpa jaringan di Stadium Darul Aman semalam.

Trucha juga berkata Penang FC yang membina pasukan baharu pada musim ini mahu tampil dengan lebih berkeyakinan setelah berusaha membawa masuk ramai muka baharu dan berpengalaman dan diyakini mampu memberi saingan yang disasarkan pada musim ini.

"Saya boleh lihat kami semakin menunjukkan kemampuan yang baik dari satu perlawanan ke perlawanan yang lain melalui perlawanan pramusim yang telah kami lalui ini.

"Ini adalah perlawanan persahabatan terakhir dan persiapan yang baik buat kami sebelum memulakan liga, cuma kami perlu meningkatkan lagi tahap persefahaman ke tahap terbaik sebelum liga bermula." katanya.

Penang FC bakal bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 4 Mac depan bagi memulakan saingan Liga Super menentang skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) dan seterusnya kembali ke Stadium Bandaraya pada 8 Mac untuk perlawanan menentang Melaka United.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 3:06 PM