YEE Fatt gembira dengan kemenangan yang diperoleh skuadnya pada saingan Piala FA di Stadium Darul Aman semalam. FOTO IZZALI ISMAIL
YEE Fatt gembira dengan kemenangan yang diperoleh skuadnya pada saingan Piala FA di Stadium Darul Aman semalam. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar : Pengendali Penang FC Chong Yee Fatt meluahkan rasa gembiranya apabila skuad kendaliannya berjaya melangkah ke pusingan kedua Piala FA selepas 'menjinakkan' skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 4-3 melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 pada aksi penuh perlawanan di Stadium Darul Aman semalam.

Dua gol yang dihasilkan Skuad Harimau Kumbang melalui pemain importnya Giovane Gomez dan Hassan Saad pada aksi di tempat lawan ini termasuk benteng yang kukuh berjaya memastikan skuadnya terus 'bertahan' dengan baik hingga ke masa tambahan dan seterusnya menyaksikan mereka cemerlang dalam semua sepakan penalti yang menjadi penentu untuk mereka layak ke pusingan seterusnya.

Yee Fatt berkata, meskipun misinya dalam perlawanan ini dilihat tidak mudah hingga berlarutan ke masa penentuan sepakan penalti, namun kekuatan mental setiap pemainnya termasuk penjaga golnya menjadi antara 'senjata' yang merobohkan kekuatan Sang Kenari bagi memastikan langkah Harimau Kumbang terus hidup.

"Kami telah menunjukkan kemampuan kami pada perlawanan ini dan bagi saya kekuatan mental adalah kekuatan utama kami pada perlawanan ini.

"Kita tahu Kedah pasukan yang kuat untuk kami hadapi pada saingan Piala FA kalah mati ini, namun kekuatan mental menentukan kekuatan kami untuk menang pada malam ini.

"Itu pelan permainan yang kami aturkan untuk mendapat kemenangan dan beraksi di tempat lawan dengan pasukan yang kuat seperti Kedah ini dan pulang dengan kemenangan ini membuatkan saya rasa cukup gembira," katanya.

Yee Fatt juga berkata skuadnya juga membuat persediaan lebih jitu pada saingan Piala FA di tempat lawan ini selepas semua pemainnya terkesan dengan kekalahan yang dialami dalam saingan Liga Super yang lalu ketika aksi bertemu Kelantan FC.

"Kami membuat persediaan dengan mengenalpasti cara Kedah bermain dan kami tak boleh beraksi secara terbuka kerana itu akan memberi kelebihan dan kekuatan pada pihak lawan seperti Kedah.

"Itu pelan permainan yang telah kami aturkan untuk mendapat kemenangan pada aksi kalah mati ini.

"Pada sepakan penalti memang kami agak bernasib baik tetapi secara keseluruhannya kami mempersiapkan pasukan dengan setiap kemungkinan seperti perlawanan pada malam ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 12:39 PM