POGBA berpindah ke Juventus dari Man Utd.
POGBA berpindah ke Juventus dari Man Utd.
Agensi

London: Paul Pogba digelar pengecut, pengkhianat dan hipokrit oleh abang sendiri selepas bekas pemain Manchester United itu menuduh abangnya itu terbabit jenayah peras ugut.

Mathias Pogba, 32, melepaskan geramnya selepas pemenang Piala Dunia berusia 29 tahun itu memberitahu polis dia dijadikan tebusan oleh dua lelaki bersenjata yang dirancang oleh abangnya dan rakan sepermainan mereka ketika zaman kanak-kanak bagi mendapatkan wang £11 juta (RM57.44 juta).

Pemain tengah Juventus, Pogba mendakwa kumpulan itu mahukan wang untuk khidmat perlindungan yang tertunggak sejak 2009.

Kini Mathias yang pernah beraksi dengan Wrexham, Crewe Alexandra dan Crawley Town di Liga Inggeris membalas dakwaan adiknya di media sosial.

"Adik saya ini mula menunjukkan sikap sebenar," katanya. "Sejak dia yang mula bercakap dan menipu polis, anda tak boleh salahkan saya.

"Paul, kamu mahu saya tutup mulut sepenuhnya, berbohong dan hantar saya ke penjara. Sudah saya jangka. Sekarang benarlah, tidak seperti kamu saya mempunyai fakta untuk membuktikan kenyataan saya dan kamu berbohong.

"Saya beritahu kamu sekali lagi, manipulasi orang ramai tidak baik! Ia bukan mengenai wang, kamu menuduh saya dan saya hampir mati kerana kamu. Orang akan melihat tiada yang lebih pengecut, pengkhianat dan hipokrit di dunia ini selain kamu."

Polis Perancis sudah pun membuka siasatan mengenai tuduhan Pogba itu namun belum ada dakwaan dikenakan ke atas mana-mana pihak setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 11:12 AM