SCOTT Parker menjadi ketua jurulatih pertama dipecat dalam kempen EPL musim ini. FOTO Reuters
SCOTT Parker menjadi ketua jurulatih pertama dipecat dalam kempen EPL musim ini. FOTO Reuters
AFP

London: Pasukan sedang bergelut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Bournemouth memecat ketua jurulatihnya, Scott Parker beberapa hari selepas mereka dimalukan Liverpool, 0-9, Sabtu lalu.

Mengumumkan perpisahan dengan Parker, pemilik kelab Maxim Demin dalam satu kenyataan berkata: "Untuk kami terus maju sebagai sebuah pasukan dan kelab secara keseluruhan, strategi kami perlu selari untuk menguruskan kelab secara mampan.

"Kami perlu menunjukkan kepercayaan dan menghormati antara satu sama lain. Ia pendekatan yang dibawa kelab ini untuk mencapai kejayaan."

Dia menambah: "Usaha kami untuk mencari ketua jurulatih baharu akan dilakukan serta merta."

Parker beberapa kali menegur pengurusan Bournemouth secara umum atas kegagalan mereka untuk mengukuhkan skuad selepas kelab itu kembali bersaing dalam liga utama.

Antaranya termasuk selepas menentang Liverpool apabila dia berkata, skuad Cherries 'tidak lengkap' berikutan kekalahan 0-4 di tangan juara bertahan, Manchester City dan tunduk 0-3 kepada Arsenal.

"Saya dapat melihat beberapa lagi (kekalahan besar)," kata Parker semasa sidang media selepas perlawanan di Anfield.

"Kami sudah berusaha untuk mendapatkan lebih banyak kualiti dan terdapat sejuta sebab mengapa (mereka tidak melakukannya).".

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 8:58 PM