MUHAMMAD Alif Zakaria (kiri) tekad untuk rantai penyerang Tok Gajah. FOTO TFC
MUHAMMAD Alif Zakaria (kiri) tekad untuk rantai penyerang Tok Gajah. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bek kiri Terengganu FC (TFC), Muhammad Alif Zakaria mengingatkan diri dan rakan sepasukannya agar berwaspada dengan kebangkitan Sri Pahang FC pada aksi timbal balik pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Selasa ini.

Pemain meningkat naik berusia 24 tahun kelahiran Paya Datu, Manir itu berkata, dia tidak rela 'berputih mata' di laman sendiri lebih-lebih lagi selepas berkelebihan empat jaringan mengatasi skuad Tok Gajah itu.

Justeru bekas pemain Terengganu FC II (TFC II) itu yang kerap disenaraikan dalam kesebelasan utama tekad untuk merantai pemain lawan daripada bergerak bebas bagi memastikan tiket ke peringkat suku akhir menjadi milik pasukannya.

Khamis lalu, Gergasi Pantai Timur itu 'mengganas' di Stadium Darul Makmur, Kuantan selepas membelasah skuad kendalian Datuk Dollah Salleh dengan kemenangan 5-1 menerusi hatrik Kpah Sherman dan masing-masing satu gol dijaringkan Mohd Faisal Halim dan pemain pinjaman dari Selangor, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.

"Atas kertas kami berkelebihan dengan jaringan agak besar hasil kemenangan pada aksi pertama, namun dalam bola sepak apa-apapun boleh berlaku jika kita mengambil mudah.

"Justeru jika diturunkan jurulatih, sudah pasti saya berazam untuk buat yang terbaik dan bekerja lebih keras lagi bagi mengelak rangkaian penyerang lawan bergerak bebas.

"Buat rakan sepasukan terutama di posisi pertahanan, kami perlu beraksi sebagai satu pasukan dengan saling bantu-membantu bagi mengelak pintu gol dibolosi lawan.

"Namun dengan prestasi semasa pasukan yang berada dalam momentum terbaik, saya harap impian untuk melangkah ke peringkat seterusnya tercapai," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeram, Kuala Terengganu itu yang akui bebas daripada sebarang kecederaan.

Berdasarkan prestasi semasa, skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain dilihat berperluang cerah untuk melangkah ke peringkat suku akhir lebih-lebih bakal beraksi di tempat sendiri.

Selain itu rekod pada musim ini dalam saingan Liga Super memihak kepada TFC dengan kemenangan 2-1 pada aksi pusingan pertama dan kedua bakal menjadi tonik berharga buat skuad itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 2:47 PM