LIRIDON (kanan) tidak sabar untuk membuat penampilan sulung bersama TFC. FOTO TFC
LIRIDON (kanan) tidak sabar untuk membuat penampilan sulung bersama TFC. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bintang baharu Terengganu FC (TFC), Liridon Krasniqi akui begitu teruja untuk membuat penampilan sulung bersama skuad Penyu pada aksi kedua pasukannya menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Rabu ini.

Lebih menambah keterujaan pemain naturalisasi itu apabila skuad Penyu bakal menentang bekas pasukan pertamanya itu dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika mula menjejak kaki di bumi Malaysia pada 2015 sebelum meneruskan kariernya bersama Melaka United FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT).

Pemain tengah berusia 31 tahun itu diikat secara pinjaman daripada JDT selama setahun bagi memperkasakan lagi skuad kendalian Tomislav Steinbrukner itu yang memerlukan seorang 'arkitek' yang mampu mengumpan bola lebih kreatif kepada jentera serangan pasukan.

"Saya begitu gembira dan bagaikan tidak sabar untuk membuat penampilan pertama bersama pasukan baharu, TFC pada musim ini.

"Malah lebih teruja pasukan kami bakal menentang bekas pasukan yang pernah saya wakili sebelum ini, ia sudah pasti menjanjikan perlawanan lebih menarik kerana dapat beraksi di hadapan penyokong tuan rumah yang sangat menakjubkan, ianya juga bagaikan bermain di tempat sendiri.

"Justeru jika diturunkan jurulatih, saya mahu memperagakan corak permainan terbaik bagi membantu pasukan melakar kemenangan pertama walaupun saya akui bukan tugas mudah untuk menumpaskan lawan.

"Buat rakan sepasukan, lupakan kekalahan pertama tempoh hari, sebaliknya perlu berusaha lebih gigih lagi untuk mencapai kejayaan," kata pemain yang tidak dapat beraksi pada aksi sumbangsih merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah menentang JDT Jumaat lalu kerana berstatus pemain pinjaman.

Ketika ditanya kekalahan 0-2 pasukannya kepada JDT pada aksi sulung Liga M itu, pemain kelahiran Kosovo itu akui rakan sepasukannya sudah memberikan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi pasukannya.

"Kekalahan itu menjadi pengajaran berguna buat kami, kita tahu JDT adalah pasukan yang terbaik, apa-apapun pemain dah berikan yang terbaik, kami kalah tapi kami belajar, kami akan bangkit kembali pada perlawanan menentang Kedah nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 8:52 PM