PEMAIN TFC, Thchetche Herman Brice Kipre (kanan) dikawal pemain PJ Rangers, Muhammad Afiq Azuan di Stadium MBPJ.  FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PEMAIN TFC, Thchetche Herman Brice Kipre (kanan) dikawal pemain PJ Rangers, Muhammad Afiq Azuan di Stadium MBPJ. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Malik Muhamad

TERENGGANU FC (TFC) berpuas hati dengan kejayaan melepasi pusingan kedua saingan Piala FA selepas menundukkan PJ Rangers FC, petang semalam.

Walaupun bukan ujian sebenar skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu ketika membenam cabaran PJ Rangers 4-0, ia jelas bermakna buat pemain sebelum berdepan ujian getir bertemu Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, selepas ini.

Pemain tengah, Abdul Latiff Suhaimi berkata, walaupun kemenangan bagaikan sudah dijangka sebelum bertemu skuad Liga FAM itu berdasarkan prestasi semasa, kejayaan meledak empat jaringan begitu bermakna buat pasukannya.

“Alhamdulillah, kami dapat kekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dengan kemenangan selesa. Kejayaan ini pasti memberi suntikan semangat buat kami merekod kemenangan apabila bertemu JDT nanti.

“Selain itu, sebagai pasukan tunggal dalam saingan Liga Super yang belum tewas lagi, kami juga berazam untuk kekalkan rekod cemerlang itu bukan hanya dalam aksi keempat liga,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Latiff yang pernah memegang tugas sebagai kapten skuad Penyu musim lalu memuji sikap Irfan Bakti kerana tidak pernah ambil mudah dengan pasukan lawan walaupun bertaraf liga amatur.

“Kemenangan ini hasil usaha keras dan aksi berpasukan rakan selain sikap jurulatih yang mahukan kami menghormati lawan dan memperagakan aksi lebih 100 peratus serta tidak pandang mudah keupayaan pasukan lawan.

“Justeru, aksi pada Sabtu ini siapapun yang bakal disenaraikan jurulatih, yang penting harus menunjukkan komitmen dan semangat juang tinggi apatah lagi beraksi di laman sendiri,” pesan Latiff yang mahukan rakan sepasukan mengekalkan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 10:02 PM