LEE Tuck, kapten TFC.
LEE Tuck, kapten TFC.
Malik Muhamad


"KAMI tidak gentar bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) biarpun skuad itu hadir dengan reputasi hebat terutama selepas menundukkan Perak dengan jumlah jaringan besar hujung minggu lalu."

Demikian reaksi kapten pasukan Terengganu FC (TFC), Lee Tuck ketika ditanya menjelang pertemuan dengan pendahulu Liga Super itu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Jumaat ini yang pastinya menarik kerana menemukan dua pasukan teratas liga.

Bagaimanapun, pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu enggan mendabik dada sebaliknya menaruh harapan tinggi agar dia dan pemain yang bakal disenaraikan jurulatih, Nafuzi Zain mampu menampilkan prestasi terbaik.

Pemain berusia 32 tahun yang sudah tiga musim bersama skuad Penyu itu percaya jika taktikal yang dirancang jurulatih menjadi dan rakan sepasukan tidak tertekan serta bijak memanfaatkan peluang terhidang, keputusan bakal memihak kepada pasukannya.

"JDT semakin menunjukkan ramuan mereka sebagai juara. Mereka mempunyai kualiti dan pengalaman selain mempunyai ramai pemain yang mampu menjaringkan gol, malah mereka meletakkan pasukannya sebagai pasukan nombor 1 selain berada pada kelas tersendiri.

"Tapi kami tidak gusar dengan reputasi mereka. Sebaliknya kami tekad bermain sebaik mungkin untuk menikmati perlawanan, malah keyakinan kami masih tinggi walaupun kami bertemu pasukan terbaik di Malaysia, siapa tahu kami mampu lakukan kejutan.

"Secara peribadi saya percaya kami mampu menewaskan JDT, lagipun rekod di Kuala Terengganu sebelum ini kita pernah menang dan seri. Oleh itu kami mahu mengulanginya,'' katanya.

Berdasarkan rekod musim lalu dalam saingan liga di Kuala Terengganu, kedua-dua pasukan terikat 2-2 manakala pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2018, skuad Penyu berjaya menundukkan JDT 1-0 hasil jaringan Malik Mat Ariff.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 5:48 PM