PEMAIN Kelantan, Kenta Hara (kiri) diasak oleh Wan Zack Haikal Wan Nor pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
PEMAIN Kelantan, Kenta Hara (kiri) diasak oleh Wan Zack Haikal Wan Nor pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: "Maafkan kami, TRW Kelantan FC, saya faham perasaan anda (penyokong) apabila kalah di laman sendiri," luah Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah.

Yusri yang pernah mengemudi Kelantan FC pada tahun 2019 hingga 2020 berkata, bagaimanapun dia juga tidak menafikan semangat juang pemainnya yang menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu yang berkeputusan 2-1.

Yusri berkata, bukan sesuatu yang mudah untuk beraksi di stadium keramat Kelantan yang dihadiri lebih 8,000 penonton, petang semalam.

"Bukan mudah beraksi di sini (Stadium Sultan Muhammad ke IV), kita tahu this is 'Kota Bharu', jadi kemenangan ini amat berharga bagi kami," katanya.

Yusri, 46 berkata, pemainnya turut menampilkan persembahan di luar kemampuan menentang skuad Kijang Merah walaupun berdepan cuaca panas kerana beraksi di waktu petang.

"Saya beritahu pemain, macam mana pun nak tiga mata berharga, tak sangka mereka dapat dan kita takkan berhenti di sini, kita akan lebih berdaya saing di masa akan datang," katanya.

Bagi Ketua Jurulatih Kelantan, Rezal Zambery Yahya pula, kekalahan itu memberi tekanan buat pasukannya.

"Saya rasa kita dah lepaskan peluang keemasan, pada saya gol-gol itu tak patut berlaku dan memang kesilapan kita.

"Separuh masa kedua, kita bangkit tapi masih tak dapat berikan gol," katanya.

Rezal berkata, sedikit kesilapan itu dihukum kemenangan pelawat dan meskipun Kelantan masih di kedudukan pertama liga namun jarak perbezaan mata kini semakin mengecil.

"Kita ada masa 2 hari saja untuk memperbetulkan kesilapan dan menentang PDRM FC, tidak boleh tidak kita mesti kutip tiga mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2022 @ 3:25 PM