PEMAIN Kelantan, Nik Azli Nik Alias (kiri) bersama rakan sepasukan, Muhammad Danial Ashraf Abdullah meraikan gol kedua pasukan mereka ketika menentang Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Amran Hamid
PEMAIN Kelantan, Nik Azli Nik Alias (kiri) bersama rakan sepasukan, Muhammad Danial Ashraf Abdullah meraikan gol kedua pasukan mereka ketika menentang Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman. FOTO Amran Hamid
Izzali Ismail

 

PENOLONG Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah kagum dengan sikap serta semangat ditunjukkan pemainnya ketika menang 2-1 ke atas Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

"Pertama sekali terima kasih kepada Allah kerana memberi kemenangan yang cukup bermakna pada perlawanan kali ini dan semua orang sedia maklum pada hari ini (semalam), kami hadir dengan ketiadaan ketua jurulatih, namun apa yang membanggakan kita adalah sikap pemain muda.

"Saya rasa mereka berusaha cukup sempurna  pada malam ini walaupun kita sedar kita terlalu banyak memberikan ruang kepada pasukan Kedah tetapi mereka gagal manfaatkan," katanya.

Yusri turut memuji penjaga gawangnya Mohd  Sharizan Ismail yang bertindak cemerlang dan antara penyumbang besar di atas kemenangan yang diraih Kelantan.

"Persembahan amat mengagumkan saya adalah daripada penjaga gol 'tua'  Sharizan, yang bertungkus lumus menyelamatkan banyak percubaan bahaya penyerang Kedah.

"Jika ada buku untuk menulis kehebatan beliau pada malam ini banyak... jadi  saya cukup berterima kasih dan mengharapkan keadaan sama akan berulang pada 8 Jun ini," katanya.

Beliau juga memaklumkan kemasukan dua pemain muda, Danial Ashraf dan Nik Azli berjaya mengubah persembahan mereka.

Yusri juga berpuas hati dengan pengalaman ditimba pemain muda walaupun terdapat beberapa kelemahan ketara perlu atasi.

Mengenai jawatan ketua jurulatih selepas ketiadaan Fajer Ebrahim, Yusri memaklumkan beliau bersedia menyahut 'cabaran kedua' itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 10:23 PM