Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah. FOTO File NSTP
Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah. FOTO File NSTP
BERNAMA

KETUA jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah mahu pemainnya berwaspada dengan kelebihan penyerang import Pulau Pinang, Anselmo Casagrande menjelang pertemuan saingan Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad I V, Kota Bharu, malam esok.

Yusri berkata penyerang import dari Brazil itu akan menjadi ancaman utama kepada pasukan The Red Warriors (TRW) sekiranya pemainnya tidak memberikan tumpuan terhadap pemain itu.

"Pemain di posisi pertahanan perlu memberikan tumpuan dan kerja keras bagi memastikan pemain berkenaan tidak menghasilkan sesuatu keputusan yang mengecewakan kepada TRW.

"Dia (Casagrande) dari fizikalnya mempunyai kelebihan tidak termasuk kemahiran berkualiti dan mampu menjaringkan gol dalam apa juga keadaan," katanya, ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Selepas mengharungi empat perlawanan dalam saingan Liga Perdana, Casagrande mampu menjaringkan enam gol lalu ia membuktikan penyerang itu perlu disekat oleh kubu pertahanan TRW.

Yusri berkata pemain itu tidak hanya mampu menjaringkan gol sebaliknya mempunyai kemampuan mencipta peluang kepada pemain lain untuk menjaringkan gol.

"Saya mahu semua pemain memberikan aksi lebih bertenaga pada perlawanan malam esok.

"Kita berdepan dengan pasukan bukan mudah untuk ditewaskan kerana mereka mempunyai pakej lengkap di setiap posisi," katanya.

Beliau berkata pasukannya perlu berusaha sebaik mungkin sebelum tamat 90 minit perlawanan bagi memastikan TRW mencapai kemenangan pada perlawanan itu nanti.

"Saya menaruh kepercayaan yang tinggi kepada pemain dan mereka mampu menggalas tugas itu dengan sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 6:03 PM