MANIAM (kanan) terpaksa menilai kecergasan setiap pemain sebelum menamakan kesebelasan utama. FOTO AZHAR RAMLI
MANIAM (kanan) terpaksa menilai kecergasan setiap pemain sebelum menamakan kesebelasan utama. FOTO AZHAR RAMLI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Tuah tampak belum memihak Petaling Jaya City FC (PJ City) biarpun sentiasa turun dengan semangat dan motivasi tinggi untuk mencapai kemenangan.

Perkara itu diakui pengendali PJ City, P Maniam yang mengakui anak buahnya sentiasa mahu meraih tiga mata maksimum dalam setiap perlawanan Liga Super dilalui.

Namun begitu, impian untuk menggenggam tiga mata sering terlepas dan terbaharu, skuad kendaliannya tewas 1-2 kepada Sabah FC di halaman sendiri malam tadi.

"Kami bermain lebih agresif kerana pemain mahukan kemenangan dan kami bermain baik pada separuh masa pertama. Segalanya dilakukan dengan baik tetapi gagal mendapat mata penuh," katanya sejurus tamat aksi dengan Sabah itu.

Kekalahan itu menyaksikan PJ City terus kempunan melakar kemenangan dalam sembilan aksi Liga Super apabila tewas empat kali dan lima seri dengan kali terakhir merasai nikmat menang adalah pada 6 April lalu apabila menewaskan Terengganu FC 3-0 di Kelana Jaya.

Ujarnya lagi, untuk pertemuan dengan Terengganu FC di Gong Badak selepas ini, beliau terpaksa menilai kecergasan setiap pemain sebelum menamakan kesebelasan utama.

"Kita akan lihat pada pemulihan para pemain dan akan bercakap dengan pemain mengenai keadaan dan kesediaan mereka untuk bermain. Selepas itu barulah saya boleh menyediakan pemain sebelum menentang Terengganu selepas ini," katanya.

Dalam aksi dengan Sabah itu, PJ City terlebih dulu mendahului menerusi tandukan penyerang kebangsaan, Darren Lok pada minit ke-34.

Begitupun, kelebihan itu dipadamkan di babak kedua hasil penyudah Taiki Kagayama di minit 48 dan Irfan Fazail pada minit 75 sekali gus memusnahkan hasrat tuan rumah menamatkan kemarau kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 3:30 PM