PEMAIN Sabah FC, Taiki Kagayama (kanan) berebut bola depan pemain PJ City FC, Barathkumar Ramaloo dalam perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PEMAIN Sabah FC, Taiki Kagayama (kanan) berebut bola depan pemain PJ City FC, Barathkumar Ramaloo dalam perlawanan Liga Super di Stadium MBPJ, malam tadi. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Percaya kepada diri sendiri dan rakan sepasukan adalah resipi utama kejayaan Sabah FC yang bangkit menewaskan Petaling Jaya City FC (PJ City), 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Pengendali pasukan, Datuk Ong Kim Swee berkata, walaupun ketinggalan 1-0 pada babak pertama, pemainnya bangkit untuk memadamkan kelebihan lawan dan membawa pulang tiga mata ke Kota Kinabalu.

Katanya, pemain cukup yakin untuk bangkit dan beliau mengakui itulah salah satu kekuatan pasukannya yang tidak pernah mengaku kalah sebelum wisel penamat dibunyikan.

"Percaya tentang kekuatan kita dan mempercayai satu sama lain. Walaupun bermain untuk satu unit dalam jangka masa pendek, mereka menunjukkan komitmen cukup tinggi," katanya pada sidang media selepas aksi itu.

Dalam perlawanan itu, tuan rumah terlebih dulu mendahului menerusi tandukan penyerang kebangsaan, Darren Lok pada minit ke-34.

Begitupun, kelebihan itu dipadamkan di babak kedua hasil penyudah Taiki Kagayama di minit 48 dan Irfan Fazail pada minit 75, untuk membolehkan Sabah menghimpit pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) di puncak liga.

Begitupun, Kim Swee mendedahkan kejayaan ke atas PJ City itu bukan hadir dengan mudah apabila beberapa pemain dilanda kecederaan di saat akhir sebelum aksi itu.

"Saya terpaksa menunggu hingga minit-minit terakhir untuk menamakan kesebelasan utama. Kami datang dengan 22 orang pemain. Park Tae Su dan Baddrol Bakhtiar kurang cergas dan ia menyukarkan saya untuk menetapkan pemain.

"Namun saya gembira dengan persembahan ditunjukkan pemain yang diberikan kepercayaan untuk bermain terutama yang pertama kali diturunkan," katanya.

Ketika ini, Sabah di tangga kedua Liga Super di belakang JDT dengan hanya dipisahkan satu mata apabila menghimpun 28 mata selepas 13 aksi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2022 @ 2:22 PM