PEMAIN Kuala Lumpur City, Paulo Josue Sturmer Dos Reis (tengah) diasak pemain Selangor FC, Oliver Buff (kiri). FOTO Eizairi Shamsudin
PEMAIN Kuala Lumpur City, Paulo Josue Sturmer Dos Reis (tengah) diasak pemain Selangor FC, Oliver Buff (kiri). FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC menyifatkan satu mata yang di bawa pulang dari Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras cukup adil selepas terikat seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City (KL City), malam tadi.

Jelas pengendali Red Giant, Karsten Neitzel, kejayaan memungut mata di halaman lawan itu bukan mudah apatah lagi anak didiknya terpaksa bangkit daripada ketinggalan.

Bagaimanapun, beliau memuji sikap gigih pemainnya yang tidak berputus asa untuk memburu jaringan.

"Babak pertama KL City beri cabaran cukup sengit dan kita cuba mengimbangi tempoh permainan tuan rumah yang pantas dan laju.

"Masuk babak kedua, kita dapat banyak peluang tetapi gagal memanfaatkannya, termasuk gandingan pemain bersama Ifedayo Olusegun yang milik peluang keemasan pada minit akhir namun gagal sudahkannya.

"Apapun ia keputusan yang adil," katanya pada sidang media selepas perlawanan yang menyaksikan Selangor FC mengumpul 20 mata dan kekal di tangga kelima Liga Super.

Pada aksi itu, KL City terlebih dulu mendahului menerusi sepakan percuma cantik yang diambil oleh ketua pasukan, Paulo Josue di minit ke-40.

Begitupun, pelawat hanya memerlukan tiga minit untuk memadamkan kelebihan skuad Warga Kota apabila pemain import dari Switzerland, Oliver Buff memanfaatkan situasi kelam kabut untuk menyamakan kedudukan 1-1.

Sementara itu, jurulatih KL City, Bojan Hodak turut senada yang menganggap keputusan seri itu adil.

"Kami mengawal permainan dari awal dan lawan juga ada peluang. Saya kira ia (keputusan) adil buat kedua-dua pasukan," kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Julai 2021 @ 2:27 PM