London: Jose Mourinho percaya Oscar masih belum berada di tahap terbaik selepas pemain antarabangsa Brazil itu membantu Chelsea merekod kemenangan 2-1 ke atas QPR, kelmarin.

Pengurus Blues Mourinho mengkritik persembahan keseluruhan pasukannya, namun beliau memuji Oscar yang mempamerkan kemahiran individu untuk membolehkan Chelsea mendahului pada babak pertama di Stamford Bridge semalam.

Namun mereka terpaksa mengharapkan sepakan penalti Eden Hazard yang dipertikai pengurus QPR Harry Redknapp untuk mengesahkan kemenangan buat Chelsea dan kekal memiliki kelebihan empat mata di tangga teratas Liga Perdana.

Mourinho gembira dengan persembahan dipamerkan Oscar dan menjangkakan pemain tengah itu akan memberi lebih pengaruh kepada pasukan apabila cergas sepenuhnya susulan jadual padat hujung musim dalam kempen Piala Dunia.

“Saya fikir Oscar pemain terbaik kami. Selama 90 minit dia pemain terbaik kami bukan hanya kerana dia menjaringkan gol, tapi atas sumbangan keseluruhannya,” Mourinho.

“Apabila kami kembali mendapat bola, dia selalu tepat dan pantas dan apabila kami kehilangan bola, dia juga selalu tepat dan pantas mengawal semula posisi untuk memberi tekanan. Saya fikir dia pemain yang hebat.

“Dia bermain pada Ahad, Selasa dan hari ini (semalam). Ada pemain tidak bermain pada pertengahan minggu dan saya jangkakan pemain lain akan beraksi lebih baik, namun bagi saya Oscar pemain terbaik kami.

“Dia bermain sangat baik. Memang pada pramusim dia mengalami kesukaran selepas Piala Dunia namun prestasinya kini semakin meningkat.

“Dia banyak menggerakkan permainan pasukan ini, mencetuskan kreativiti dan menjaringkan gol.”

Mourinho mengaku anak buahnya tidak bermain dengan baik, tapi mereka tetap puas hati untuk mengutip tiga mata meskipun tidak berada di tahap terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 November 2014 @ 5:03 AM