THOMAS Tuchel. FOTO Agensi
THOMAS Tuchel. FOTO Agensi
Agensi

London: Thomas Tuchel berkata Chelsea 'tiada peluang' untuk memenangi Liga Perdana tanpa mendapatkan lebih ramai pemain terbaik seperti Raheem Sterling.

Pemain antarabangsa England itu akhirnya menyertai Chelsea yang juga pembelian pertama kelab itu pada musim panas ini.

Bagaimanapun Chelsea dikaitkan dengan beberapa bintang lain dari seluruh Eropah ketika mereka sedang mencari penyerang berbisa serta di bahagian pertahanan.

Tuchel berkata beliau mahu mendapatkan barisan pemain terbaik untuk memberi cabaran kepada pasukan seperti Manchester City dan Liverpool.

"Kami bersaing bukan sahaja menentang pasukan terbaik yang pernah bermain dalam Liga Perdana tetapi juga jurulatih terbaik.

"Kami kehilangan pemain berkualiti dan tonggak utama. Kami berada dalam fasa peralihan pemilikan kelab. Sekarang kami agak ketinggalan dalam persaingan perpindahan pemain.

"Kejayaan mendapatkan Raheem menunjukkan apa yang kami mampu lakukan. Ia menunjukkan cita-cita tinggi kelab dan pemiliknya.

"Sudah pasti ia sesuatu yang bagus kerana kami semua di sini mempunyai sasaran untuk menang dan bersaing.

"Untuk itu, kami memerlukan pembelian pemain baharu yang berkualiti. Jika tidak, tiada peluang untuk merebut kejuaraan," katanya.

Chelsea menyaksikan beberapa pemain utama mereka meninggalkan kelab termasuk Antonio Rudiger yang berhijrah ke Real Madrid.

Romelu Lukaku juga kembali ke Inter Milan selepas mengharungi musim yang sukar di Stamford Bridge.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 9:54 AM