POTTER ikat kontrak lima tahun dengan Chelsea.
POTTER ikat kontrak lima tahun dengan Chelsea.
AFP

London: Pengurus baharu Chelsea, Graham Potter berkata, beliau tertarik dengan visi pengerusi, Todd Boehly walaupun beliau berdepan kritikan dalam tempoh awal pengambil alihan kelab itu.

Potter meninggalkan Brighton minggu lalu untuk menandatangani kontrak lima tahun di Stamford Bridge selepas Thomas Tuchel dipecat.

Keputusan itu tidak disenangi beberapa pihak selepas Chelsea membelanjakan lebih £250 juta (RM1.3 bilion) sebelum jendela perpindahan ditutup.

"Ia permulaan kepada tempoh menggembirakan, saya fikir," kata Potter dalam laman web kelab.

"Pemilik baharu yang saya sangat tertarik dengannya. Pertama sebagai pemimpin dan visinya untuk kelab serta apa yang mereka mahu lakukan."

Chelsea berada di tempat keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas permulaan hambar musim ini dan tewas aksi pertama Liga Juara-Juara (UCL) susulan kekalahan 0-1 di Dinamo Zagreb.

Potter membina reputasinya dengan taktikal bijak dan menampilkan corak permainan menarik yang melonjakkan Brighton ke tangga keempat EPL.

Tetapi ujian sebenar Potter apabila Chelsea berdepan Salzburg di Stamford Bridge pada pagi Khamis ini dalam aksi pertama UCL dalam karier pengurus itu.

"Kami lebih gemar menyerang tetapi seimbang dan pemain boleh membuat keputusan," kata Potter.

"Ia mengenai kemenangan, membina pasukan yang kental dan bekerjasama. Ia kombinasi antara bola sepak dan nilai kemanusiaan.

"Anda perlu faham pertamanya mereka adalah manusia, memahami mereka, apa yang memotivasikan mereka dan apa yang mereka suka sebagai manusia."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 7:54 AM