GABRIEL Jesus menandatangani kontrak jangka panjang dengan Arsenal. FOTO TWITTER ARSENAL
GABRIEL Jesus menandatangani kontrak jangka panjang dengan Arsenal. FOTO TWITTER ARSENAL
AFP

London: Gabriel Jesus mahu mencontohi heronya ketika kecil, Thierry Henry selepas Arsenal menandatangani penyerang Manchester City itu dengan yuran sekitar £45 juta (RM241.39 juta), hari ini.

Jesus yang menjaringkan 95 gol dalam 236 penampilan untuk City, menandatangani kontrak jangka panjang dengan Arsenal selepas meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu untuk mencari tempat dalam kesebelasan utama.

Penyerang antarabangsa Brazil itu mendedahkan dia adalah peminat Arsenal ketika remaja dan terpikat dengan Henry ketika bintang Perancis itu mengharungi karier gemilang di utara London.

Kini, Jesus akan mengikuti jejak langkah Henry sebagai penyerang utama Arsenal.

"Saya mengikuti perkembangan Arsenal ketika masih remaja kerana Henry," kata Jesus.

"Sudah tentu, saya tidak mengikuti terlalu banyak kelab Eropah, tetapi apabila melihat sebahagian pemain di sini, saya berkata 'Wow, ini adalah kelab besar.'

"Saya gembira menandatangani kelab besar ini. Sejak hari pertama dapat tahun akan bermain untuk Arsenal, saya sangat gembira.

"Saya kenal staf, sebahagian pemain terutama dari Brazil. Saya tahu ramai pemain ternama di sini."

Jesus dijangka tersisih jika terus bersama City pada tahun terakhir kontraknya apabila kelab itu meningkatkan jentera depan dengan menandatangani Erling Haaland dan Julian Alvarez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 9:44 PM