JESUS (kiri) dilihat menendang Mena. FOTO EPA
JESUS (kiri) dilihat menendang Mena. FOTO EPA
Agensi

London: Gabriel Jesus memohon maaf berikutan aksi tendangan karate yang dilakukannya terhadap Eugenio Mena sehingga menyebabkannya terus dilayangkan kad merah ketika Brazil melakar kemenangan ke atas Chile pada saingan Copa America, hari ini.

Brazil mendahului 1-0 menerusi gol Lucas Paqueta sebelum penyerang Manchester City itu terbabit dengan insiden berkenaan pada minit ke-48 dan menyebabkan pengadil dari Argentina, Particio Loustau terus melayakangkan kad merah.

Mena dilihat mahu menanduk bola sebelum Jesus mencabarnya tetapi tendangannya mengenai bawah muka lawannya itu.

Chile gagal memanfaatkan peluang berkenaan apabila Brazil berjaya bertahan dengan keputusan 1-0 itu untuk melakar kemenangan.

Jesus tidak akan beraksi pada aksi separuh akhir bertemu Peru namun dia berpeluang untuk diturunkan sekiranya skuad bimbingan Tite melangkah ke pentas final.

Penyerang berbisa itu menerusi media sosial miliknya memohon maaf atas kelakuan berkenaan dan berkata dia sudah pun bertemu Mena selepas tamat perlawanan.

"Malangnya saya melakukan kesilapan yang mana ia boleh memberi kesan besar kepada pasukan namun mereka sekali lagi menunjukkan kekuatan.

"Saya memohon maaf kepada rakan sepasukan dan saya akan terus mengambil pengajaran daripada segala kesilapan yang dilakukan.

"Saya lega apabila mendengar Mena berada dalam keadaan baik dan kami sempat bertemu selepas tamat perlawanan," tulis Jesus di Twitter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 9:51 PM