JESUS (kiri) ketika beraksi bersama Brazil di Piala Dunia menentang Cameroon. FOTO USA TODAY
JESUS (kiri) ketika beraksi bersama Brazil di Piala Dunia menentang Cameroon. FOTO USA TODAY
AFP

London: Bos Arsenal, Mikel Arteta berkata 'kecederaan ketara' yang dialami Gabriel Jesus meningkatkan usaha kelab itu untuk mendapatkan pemain pada jendela perpindahan Januari ini.

Pemain utama Arsenal itu terpaksa di hantar pulang awal dari Piala Dunia selepas mengalami kecederaan lutut semasa kekalahan mengejut Brazil di tangan Cameroon.

Jesus menjalani pembedahan dan Arteta, walaupun tidak pasti bila pemain itu akan kembali berkata, kecederaannya cukup teruk sekali gus mendorong pendahulu Liga Perdana itu mencari pemain baharu bulan depan.

"Saya tak pernah menetapkan masa. Saya katakan kami tidak tahu. pastinya ia akan mengambil masa.

"Dia sudah menjalani pembedahan dan itu sudah memberi gambaran kepada anda berhubung tahap kecederaannya. Jadi kami akan mendapatkan pemain dan menilai peluang terbaik yang kami ada.

"Kami akan aktif dan terus aktif. Bermakna kami sedang mencari jalan untuk mengukuhkan pasukan.

"Pasukan ini masih tidak berbelanja besar pada setiap jendela perpindahan. Kami perlu melakukannya kerana ia amat penting tetapi kami perlu mendapatkan pemain yang betul bagi membantu kami mara ke peringkat seterusnya," katanya.

Selepas Piala Dunia, Arsenal kembali beraksi di saingan Liga Perdana pada 27 Disember di laman sendiri menentang West Ham.

The Gunners kini mempunyai kelebihan lima mata di tangga teratas berbanding juara bertahan, Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 9:00 AM