AKSI Jesus (dua kanan) ketika bertemu Cameroon. FOTO EPA
AKSI Jesus (dua kanan) ketika bertemu Cameroon. FOTO EPA
Reuters

Dubai: Pengurus Arsenal, Mikel Arteta berkata dia tidak mempunyai jangka masa bila penyerang, Gabriel Jesus akan pulih daripada kecederaan lututnya dan pasukan Liga Perdana Inggeris itu akan melihat pilihan yang ada menjelang jendela perpindahan pemain bulan depan.

Jesus terpaksa dikeluarkan semasa Brazil tewas 0-1 kepada Cameroon pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Piala Dunia sebelum terpaksa diketepikan daripada baki kejohanan itu.

Penyerang berusia 25 tahun itu menjalani pembedahan pada lutut kanannya, dengan laporan mengatakan dia mungkin tidak dapat beraksi sehingga tiga bulan.

Jesus menjaringkan lima gol dalam 20 perlawanan untuk pendahulu liga, Arsenal di semua pertandingan musim ini selepas perpindahannya dari Manchester City.

Apabila ditanya sama ada kecederaan itu akan menjejaskan perancangan Arsenal pada jendela perpindahan Januari, Arteta berkata ketiadaan pemain Brazil itu amat dirasai kerana dia begitu penting.

"Kami akan melihat pilihan yang ada dan cuba membuat keputusan yang betul," tambah Arteta selepas pasukannya menang 3-0 ke atas pasukan Ligue 1, Olympique Lyonnais pada aksi persahabatan di Dubai.

"Dia perlu penjagaan rapi di kakinya dan kami perlu melihat perkembangannya setiap hari, setiap minggu sebelum melihat situasi seterusnya."

Arsenal, yang mendahului lima mata ke atas City di tangga teratas liga selepas 14 perlawanan, kembali beraksi dalam liga pada 26 Disember apabila mereka melayan kunjungan West Ham United.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Disember 2022 @ 8:43 PM