JESUS sah tinggalkan City untuk bersama Arsenal. -FOTO AFP
JESUS sah tinggalkan City untuk bersama Arsenal. -FOTO AFP
Agensi

London: Gabriel Jesus hampir pasti menjadi milik Arsenal apabila dilihat memakai jersi Arsenal di Stadium Emirates dalam satu video yang tular di media sosial.

Bagaimanapun belum ada pengumuman rasmi mengenai perkara itu dan kini peminat menantikan ketibaan rasmi pemain berusia 25 tahun itu dari Manchester City.

Bagaimanapun rakaman itu mengesahkan perpindahannya ke Arsenal.

Video berkenaan memperlihatkan Jesus memakai jersi bernombor sembilan Arsenal yang tertera namanya dan kemudiannya memeluk bos Arsenal Edu ketika tiba di hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

Antara penyebab utama Jesus dikatakan mahu meninggalkan City adalah disebabkan ketibaan Erling Haaland kerana misinya adalah untuk mencari kelab yang boleh menawarkan minit permainan dalam kesebelasan utama.

Arsenal dilaporkan membayar 45 juta pound (RM241 juta) untuk pemain Brazil itu yang dijangka menandatangani kontrak lima tahun di Emirates.

Pengendali Arsenal Mikel Arteta terdesak mendapatkan penyerang berkualiti selepas kehilangan Alexandre Lacazette.

Jesus meledak 13 gol dan melakukan 12 umpanan gol dalam 41 perlawanan untuk skuad kendalian Pep Guardiola musim lalu, serta memainkan peranan penting dalam kejayaan City menjuarai Liga Perdana Inggeris.

Sepanjang enam tahun di Etihad, Jesus memenangi empat gelaran liga dan bermain 236 perlawanan dengan 95 gol dijaringkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2022 @ 12:34 PM