PEMAIN JDT, Leandro Velazquez (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Melaka United pada perlawanan yang berkesudahan seri 1-1, malam ini. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
PEMAIN JDT, Leandro Velazquez (tengah) cuba melepasi kawalan pemain Melaka United pada perlawanan yang berkesudahan seri 1-1, malam ini. FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Nazri Abu Bakar


Melaka: Melaka United (MU) mencipta sentuhan menarik untuk mengikat Johor Darul Ta'zim (JDT) 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam ini.

JDT yang hadir dengan reputasi gah jelas menguasai bahagian tengah saingan dan bijak mencipta beberapa percubaan lebih bahaya yang hampir meletakkan mereka di depan.

Selepas beberapa percubaan, akhirnya Harimau Selatan mendahului menerusi rembatan menarik Leandro Velazquez selepas menerima hantaran Safawi Rashid pada minit ke-27.

Bagaimanapun, Melaka yang mendapat sorakan penonton di gelanggang sendiri terus berjuang beraksi habis-habisan untuk menyaingi barisan pelawat.

Hasilnya, Melaka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke- 39 menerusi jaringan Justin Baas, sekali gus membuatkan JDT tersentak.

Gol itu berpunca daripada sepakan sudut Sony Norde yang melakukan hantaran pendek kepada Adriano, sebelum Sony melakukan hantaran silang kepada Baas untuk menolak masuk gol penyamaan terbabit.

Bersambung babak kedua, JDT terus memberi tekanan kepada skuad Hang Tuah untuk memastikan mereka pulang dengan mata maksimum.

Sebaliknya, Melaka kebal mempertahankan kubu, malah turut memiliki peluang menambah jaringan, namun percubaan Norde pada minit ke-82 berjaya diselamatkan penjaga gol, Farizal Marlias.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 11:12 PM