AKSI pemain Melaka United Emmanuel Oti (kiri) ketika cuba melepasi pertahanan Sabah FC Nazirul Naim di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
AKSI pemain Melaka United Emmanuel Oti (kiri) ketika cuba melepasi pertahanan Sabah FC Nazirul Naim di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Jaringan tunggal Park Tae Su membolehkan Sabah FC ceria meraih tiga mata menewaskan Melaka United (MU) 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Beraksi tanpa kelibat dua penyerang import Olusegun Ifedayo dan Adriano Narcizo yang ditimpa kecederaan Melaka dilihat cuba membentuk sentuhan lebih tajam pada awal babak permainan.

Bagaimanapun skuad Sang Badak lebih banyak menguasai permainan dengan sesekali tuan rumah cuba melakukan serangan balas.

Peluang terbaik pelawat meledak jaringan pertama hadir pada minit ke-16 menerusi Dominic Tan hasil sepakan sudut kapten pasukan Baddrol Bakhtiar namun tinggi melepasi palang gol diikuti tandukan Tommy Mawat dua minit selepas itu juga tersasar.

Namun import Korea Selatan Tae Su menjadi hero Sabah selepas bijak mencipta jaringan pertama pasukannya pada minit ke-25 selepas mengutip kesilapan pertahanan tuan rumah dengan merembat cantik ke kiri gawang Melaka menewaskan penjaga gol Norazlan Razali.

Selepas jaringan itu skuad Hang Tuah masih tercari cari rentak untuk melakukan gerakan dan percubaan bahaya ketika pelawat lebih banyak mendominasi aksi.

Malah pelawat hampir menambah gol kedua mereka menerusi percubaan Taiki Kagayama pada minit ke-44 namun rembatan berjaya di selamatkan Norazlan.

Melihat aksi tidak menjadi jurulatih Melaka Risto Vidakovic melakukan tiga pertukaran pemain dengan sentuhan anak buahnya dilihat lebih mantap pada babak kedua.

Mereka bermula dengan baik pada awal episod kedua namun tandukan kapten pasukan Sony Norde pada minit ke-47 yang menerima hantaran silang Shahrul Azwari Ibrahim tinggi melepasi palang gol.

Skuad Hijau Putih sepatutnya mampu menyamakan kedudukan pada m-60 namun sepakan percuma Norde ditampan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan singgah di kaki Shahrul namun tolakannya tinggi melepasi palang gol.

Keputusan berkenaan memperlihatkan Melaka masih buntu mencipta kemenangan selepas tiga perlawanan menghuni tangga kesembilan sementara pelawat ceria meraih kemenangan kedua mereka sekali gus melonjak ke tangga ketiga liga setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 12:14 AM