PEMAIN JDT Arif Aiman (kanan) diasak pemain Ulsan Hyundai FC Lee Myung Jae pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL). -FOTO Bernama
PEMAIN JDT Arif Aiman (kanan) diasak pemain Ulsan Hyundai FC Lee Myung Jae pada perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL). -FOTO Bernama
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) bakal memperaga aksi di Jepun selepas Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) akan menganjurkan aksi pusingan 16, suku akhir dan separuh akhir Liga Juara-Juara Asia 2022 menerusi saingan secara berpusat untuk zon Timur.

Aksi pusingan 16 untuk zon Timur akan berlangsung selama dua hari bermula 18 Ogos manakala suku akhir pula pada 22 Ogos sementara separuh akhir tiga hari selepas itu iaitu 25 Ogos dengan kesemua aksi berlangsung secara kalah mati.

"Saitama akan menjadi pentas untuk aksi pusingan 16 membabitkan Daegu FC menentang juara 2006 dan 2016, Jeonbuk Hyundai Motors manakala BG Pathum United bertemu Kitchee SC.

"Ia diikuti dengan pertembungan Vissel Kobe lawan Yokohama F Marinos sebelum pasukan yang melakar sejarah, Johor Darul Ta'zim akan menentang pemenang dua kali, Urawa Red Diamonds.

"Sementara itu, peringkat kalah mati Liga Juara-Juara Asia 2022 zon Barat dijadualkan diadakan dari 3 hingga 10 Februari 2023 dengan venue berpusat akan diumumkan kemudian sebelum perlawanan akhir berlangsung secara timbal balik pada 19 dan 26 Februari 2023," kata AFC dalam satu kenyataan.

JDT mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia 2022 selepas menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 pada aksi terakhir Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim, 30 April lalu.

Skuad Harimau Selatan mengesahkan slot ke pusingan seterusnya selaku juara Kumpulan I dengan mengumpul 13 mata.

Terdahulu, AFC memilih Johor menjadi tuan rumah bagi saingan Kumpulan I dalam kancah Liga Juara-Juara Asia yang membuka tirainya 15 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 2:10 PM