PEMAIN JDT gigih menjalani latihan semalam. FOTO Johor Southern Tigers
PEMAIN JDT gigih menjalani latihan semalam. FOTO Johor Southern Tigers
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Johor Darul Ta'zim (JDT) nyata berada pada kondisi terbaik dan dilihat bersedia membuat kejutan dalam pusingan kedua aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Urawa Reds Diamonds di Stadium Saitama, Jepun, Jumaat ini.

Malah, kelibat 'senjata rahsia' JDT di bumi Jepun iaitu Jordi Amat bakal memberi nilai tambah buat skuad Harimau Selatan itu terutama dalam mengukuhkan benteng pertahanan apabila berdepan juara dua kali ACL itu.

Berdasarkan rekod, Urawa Reds Diamonds pernah dinobatkan sebagai 'Raja Asia' apabila menjuarai ACL pada 2007 dan 2017, di samping turut pernah melakar sejarah memenangi tempat ketiga dalam saingan Piala Dunia Kelab Fifa pada 2007.

Pencapaian gemilang wakil Jepun itu sudah pastinya memberi isyarat awal betapa sukarnya halangan yang bakal ditempuh oleh anak buah Hector Bidoglio nanti.

Begitupun, kehadiran Jordi yang disifatkan antara pertahanan berkelas dunia itu mampu membantu JDT dalam mengukuhkan benteng pertahanan.

Pengalamannya beraksi di liga terbaik Eropah seperti La Liga di Sepanyol dan Liga Perdana Inggeris di England selama 12 tahun diharapkan dapat menghalang gerakan berbahaya penyerang Urawa Reds Diamonds.

Jika dilihat kepada reputasinya, sudah tentu bukan satu masalah besar buatnya merantai tiga tonggak import lawan terdiri daripada Kasper Junker dari Denmark, di samping Alex Schalk dan Bryan Linssen yang kedua-duanya berasal dari Belanda.

Dia dijangka bergandingan dengan seorang lagi pertahanan kental yang pernah beraksi di England, Shane Lowry.

Terdahulu, juara bertahan lapan kali berturut-turut Liga Super itu melakar sejarah apabila melepasi peringkat kumpulan ACL buat pertama kali selepas menjuarai Kumpulan I pada April lalu.

JDT mengumpul 13 mata daripada enam aksi peringkat kumpulan untuk mengecewakan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai, kelab China, Guangzhou FC dan Kawasaki Frontale dari Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 7:16 PM