MAHMOUD Al-Mardi (kiri) sertai KDA FC manakala Steven Rodriguez menyertai Sri Pahang FC. FOTO KDA FC/Sri Pahang FC
MAHMOUD Al-Mardi (kiri) sertai KDA FC manakala Steven Rodriguez menyertai Sri Pahang FC. FOTO KDA FC/Sri Pahang FC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Urusan jual beli pemain hanya berbaki empat hari saja lagi sebelum jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim 2022 menutup tirai Jumaat ini sekali gus pemilik kelab perlu mengambil kesempatan yang ada untuk mengambil awang import baharu bagi memperkuatkan pasukan masing-masing.

Walaupun, tirai jendela perpindahan kedua sudah dibuka sejak 28 Mei lalu namun nilai keseluruhan pembelian pemain ketika ini boleh dikatakan hanyalah mencecah RM1 juta saja.

Situasi terbabit disahkan Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd Effendi Jagan Abdullah apabila melihat urusan jual beli pemain pada jendela perpindahan kedua kali ini kurang rancak dengan menyaksikan hanya beberapa pasukan utama saja membawa masuk tonggak baharu.

Beliau berkata, situasi terbabit kemungkinan disebabkan kebanyakan kelab lebih berhati-hati membuat pembelian dan hanya menukar pemain yang perlu saja untuk menguatkan pasukan mereka.

"Saya boleh katakan pembelian pemain kali ini biasa saja malah agak perlahan kerana pasukan cukup berhati-hati dalam perbelanjaan mereka bagi mengelak dihimpit tunggakan gaji.

"Malah, kita hanya dapat saksikan pasukan seperti Terengganu, Kedah Darul Aman (KDA), Sri Pahang dan Negeri Sembilan saja berbelanja dengan mengambil pemain baharu.

"Ada antara pasukan lain lebih berminat meminjam pemain dari pasukan lain daripada membuat pembelian kerana mahu mengurangkan perbelanjaan mereka," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Mengikut rekod, Sri Pahang boleh dikatakan antara kelab yang berbelanja besar pada jendela perpindahan kedua ini membawa masuk empat pemain baharu termasuk tiga import.

Pemain terbabit adalah Steven Rodriguez, 24, dari Colombia, Kevin Ingreso, 29, (Filipina) dan Sherzod Fayziev, 30, (Uzbekistan) serta pemain tempatan, Mior Dani Armin Mior Ariffin, 23.

Negeri Sembilan pula menandatangani dua awang import baharu iaitu Yashir Pinto Islame dan Gustavo Almeida yang bakal memperkuatkan serangan dan bahagian tengah pasukan terbabit selepas pemain import sebelum itu, David Mawutor dan Adetu Kossi gagal memberi impak terbaik bersama kelab.

Sementara itu, Kedah Darul Aman (KDA) FC pula menyambar tonggak pasukan Jordan, Mahmoud Al-Mardi bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2022 musim ini selain turut diperkuatkan dengan bekas pemain kebangsaan Thailand, Sanrawat Dechmitr yang diambil secara pinjaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 9:02 PM