KEVIN Ingreso antara empat pemain baharu yang memperkuatkan Sri Pahang. FOTO FB SRI PAHANG FC
KEVIN Ingreso antara empat pemain baharu yang memperkuatkan Sri Pahang. FOTO FB SRI PAHANG FC
Asrol Awang


Kuantan: Kehadiran empat pemain baharu termasuk tiga import pada jendela perpindahan kedua saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini diyakini mampu memperkasakan Sri Pahang FC.

Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC), Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, perubahan dilakukan kelab itu diharap memberi impak positif dalam membentuk pasukan lebih mantap.

"Berikutan prestasi kurang memuaskan sebelum ini, perubahan dilakukan dengan kemasukan empat pemain baharu iaitu tiga import dan seorang pemain tempatan.

"Kami mahu semua pemain dapat membentuk persefahaman dan kerjasama lebih cepat dalam memperkasakan pasukan dan mereka diharap dapat menterjemahkan dengan persembahan terbaik.

"Pada masa sama, masalah ketumpulan bahagian serangan serta kelonggaran pertahanan diharap dapat diatasi," katanya.

Semalam, kelab Sri Pahang mengumumkan kemasukan empat pemain baharu termasuk tiga import pada jendela perpindahan kedua.

Mereka ialah Steven Rodriguez, 24, dari Colombia, Kevin Ingreso, 29, (Filipina) dan Sherzod Fayziev, 30, (Uzbekistan) serta pemain tempatan, Mior Dani Armin Mior Ariffin, 23.

Tiga import baharu itu menggantikan Mahmoud Za'tara dari Jordan, Billy Ketkeophompone (Laos) dan Johan Martial (Perancis).

Mohammed Suffian mengesahkan empat pemain itu turut bersama skuad itu bagi perlawanan berdepan Sabah FC di Stadium Likas, malam ini.

Bagaimanapun, katanya, segala keputusan dalam pemilihan kesebelasan utama diputuskan ketua jurulatih, Christophe Gamel.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 7:34 PM