CIAPAN yang dimuatnaik dalam laman sosial Twitter. FOTO Twitter Faizal Azumu
CIAPAN yang dimuatnaik dalam laman sosial Twitter. FOTO Twitter Faizal Azumu
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilihat bersikap terbuka terhadap satu kain rentang yang jelas ditujukan kepadanya pada aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 membabitkan Harimau Malaya dengan Bangladesh, di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Kain rentang yang tertera perkataan 'Peja jgn sap gam!!!' (Peja jangan hisap gam) itu dilihat dipasang oleh segelintir penyokong Harimau Malaya sekali gus mencuri tumpuan peminat lain yang memenuhi stadium semalam.

Ia dipercayai berkaitan dengan kenyataannya ketika membela penjaga gol, Farizal Marlias susulan kesilapan dilakukannya hingga menyebabkan skuad kebangsaan tewas 1-2 kepada Bahrain dalam aksi kedua, Sabtu lalu.

Katanya, faktor luaran termasuk membabitkan lebih 63,000 penonton di stadium ketika perlawanan itu berlangsung juga harus diambil kira atas kekalahan itu apabila sorakan mereka secara tiba-tiba dilihat menyebabkan pemain skuad negara hilang fokus sewaktu perlawanan.

Beliau kemudian mengemukakan permohonan maaf serta mendakwa kenyataannya mengenai sokongan penyokong menjadi antara faktor kekalahan sebagai disalahertikan.

Menerusi ciapan di Twitter bersama gambar kain rentang berkenaan, Ahmad Faizal berkata ia dilihat bertujuan baik untuk memberi peringatan kepadanya.

"Nasihat yang amat baik kepada saya dan kepada semua!! Terima kasih!! Semoga Allah berkati segala kebaikan kita," katanya.

Pada aksi malam tadi, skuad negara bimbingan Kim Pan-gon menamatkan penantian selama 43 tahun apabila mengesahkan slot ke Piala Asia tahun depan selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh, malam tadi.

Malaysia meraih salah satu slot naib juara terbaik sekali gus bakal berentap bersama 23 pasukan terbaik benua ini yang difahamkan bakal berlangsung sama ada di Qatar, Korea Selatan mahupun Australia pada pertengahan tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 12:29 PM