SKUAD negara akan bertemu Oman, hari ini.
SKUAD negara akan bertemu Oman, hari ini.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Aksi sederhana dipamerkan skuad hoki negara apabila hanya sekadar menang 3-0 pada aksi pembuka tirai Kumpulan A bertemu Bangladesh di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di Dhaka semalam.

Keputusan itu dilihat kurang memberangsangkan, mengambil kira status Speedy Tigers yang menduduki ranking ke-13 dunia berbanding Bangladesh, 32.

“Kami memang menjangkakan Bangladesh akan memberi saingan sengit kerana mereka bermain di tempat sendiri.

“Bagi saya, pemain kita pula beraksi baik. Tapi mereka belum berada di tahap terbaik kerana perlu mendapatkan rentak permainan.

“Barisan pemain kita juga perlu menyimpan tenaga dan kami tidak mahu mereka berdepan sebarang kecederaan kerana banyak perlawanan penting selepas ini,” kata pengurus pasukan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim

Skuad negara bermula garang apabila di depan seawal minit ke-5 selepas Marhan Jalil menyelinap ke dalam kawasan D untuk menjaringkan gol padang sekali gus meletakkan Malaysia di depan.

Pemain senior negara, Muhammad Razie Abdul Rahim terus mengukuhkan kedudukan skuad negara apabila menjaringkan gol kedua menerusi pukulan sudut penalti minit ke-19.

Jaringan berkenaan pasti melegakan bagi pakar pukulan sudut penalti negara itu yang sebelum ini berdepan masalah untuk menyempurnakan gerakan itu dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) ketika bersama Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC).

Barisan pemain negara terus berusaha untuk menambah gol, namun aksi kemas barisan pertahanan Bangladesh menyaksikan beberapa cubaan terbaik skuad negara gagal menghasilkan gol.

Hanya pada minit ke-54, baru skuad negara menambah gol ketiga menerusi penyerang muda berusia 21 tahun, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi hasil jaringan padang.

Skuad negara akan meneruskan aksi kedua peringkat kumpulan bertemu Oman, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 5:08 AM