BARISAN skuad hoki yang akan mengibarkan cabaran di Piala Asia, Jakarta. FOTO Ihsan MHC
BARISAN skuad hoki yang akan mengibarkan cabaran di Piala Asia, Jakarta. FOTO Ihsan MHC
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Mencari tiket layak secara automatik pada saingan Piala Dunia 2023 adalah sasaran utama skuad senior hoki negara pada Kejohanan Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia bermula 23 Mei sehingga 1 Jun ini.

Empat slot automatik ke Piala Dunia 2023 bagi benua Asia diperuntukkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan satu slot sudah diisi oleh India selaku tuan rumah Piala Dunia 2023 sekali gus menyaksikan tiga slot akan menjadi taruhan buat pasukan yang bersaing di Piala Asia.

Lapan pasukan akan bersaing dengan tujuh daripadanya mempunyai misi yang sama iaitu merebut tiga slot automatik yang tinggal dengan Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea serta Oman sementara Kumpulan A diisi oleh India, Indonesia, Jepun dan Pakistan.

Justeru itu, ketua jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj menegaskan anak buahnya tiada pilihan dan matlamat lain selain daripada memastikan mereka dapat merebut tiket ke Piala Dunia.

"Kami sudah mengumpul maklumat mengenai pasukan yang akan kami temui di kejohanan itu dan untuk aksi peringkat kumpulan, kami juga mempunyai peluang untuk melihat perlawanan yang membabitkan pasukan Korea dan Bangladesh terlebih dahulu sebelum turun bertemu mereka.

"Matlamat utama kami adalah untuk layak ke Piala Dunia dan kami akan mengambil satu perlawanan demi satu perlawanan. Kejohanan ini menggunakan sistem "super 4" di mana dua pasukan teratas kumpulan A dan B akan bertemu secara liga satu pusingan.

"Jika India berada di dalam kelompok "super 4" ini bermakna keempat-empat pasukan layak ke Piala Dunia 2023 namun jika India tiada di dalam kelompok itu, ini bermakna hanya tiga pasukan akan mendapat slot automatik," katanya pada sidang media, hari ini.

Skuad negara akan berlepas ke Jakarta, Indonesia esok dan akan memulakan aksi pertama mereka pada 23 Mei bertemu Oman di Stadium Hoki Gelora Bung Karno.

Malaysia tidak pernah memenangi saingan Piala Asia dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara selepas tewas 1-2 kepada India pada final edisi 2017 di Dhaka, Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 2:36 PM