PENYERANG skuad hoki negara, Shello Silverius.
PENYERANG skuad hoki negara, Shello Silverius.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang muda skuad hoki negara, Shello Silverius gembira apabila meraih kemenangan besar 7-0 ke atas Oman di Kejohanan Piala Asia di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Walaupun tidak menjaringkan gol, pemain Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu teruja apabila membuat penampilan pertama pada perlawanan itu.

Menurutnya, kemenangan pertama dalam kempen bermula 23 Mei hingga 1 Jun di Stadium Gelora Bung Karno itu penting bagi menyuntik semangatnya dan rakan sepasukan untuk perlawanan seterusnya berdepan Bangladesh.

"Bukan mudah untuk berada dalam kesebelasan utama skuad kendalian Arul Selvaraj, lebih-lebih lagi saya kali pertama terpilih mewakili negara dalam pentas Asia itu.

"Impian peribadi dalam kejohanan ini sudah pasti mahu membuat penampilan pertama selain memperagakan aksi terbaik dalam kejohanan itu.

"Sebagai penyerang, sudah tentu saya mahu membantu pasukan meledak seberapa banyak gol apatah lagi saya kini berada pada tahap prestasi terbaik," kata pemain kelahiran Keningau, Sabah itu ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Selain Shello, jentera serangan skuad Malaysian Tigers turut diperkuatkan Muhammad Shahril Saabah, Norsyafiq Sumantri, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan peledak utama THT, Faizal Saari.

Skuad negara yang diletakkan dalam Kumpulan B bersama Bangladesh, Korea Selatan dan Oman mempunyai peluang cerah untuk memburu tiket ke pentas Piala Dunia berdasarkan pemain terbaik disenaraikan jurulatih.

Empat slot automatik ke pentas Piala Dunia bagi benua Asia diperuntukkan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dengan satu slot menjadi milik tuan rumah, India.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 3:46 PM