SOKONGAN penyokong dapat pujian Ahmad Faizal. -FOTO Aizzuddin Saad
SOKONGAN penyokong dapat pujian Ahmad Faizal. -FOTO Aizzuddin Saad
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejayaan Harimau Malaya layak beraksi di pusingan akhir Piala Asia 2023 mendapat pujian Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Pada aksi malam tadi, skuad negara bimbingan Kim Pan-gon menamatkan penantian selama 43 tahun apabila mengesahkan slot ke Piala Asia tahun depan selepas melakar kemenangan 4-1 ke atas Bangladesh pada aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023.

Malaysia meraih salah satu slot naib juara terbaik sekali gus bakal berentap bersama 23 pasukan terbaik benua ini yang difahamkan bakal berlangsung sama ada di Qatar, Korea Selatan mahupun Australia pada pertengahan tahun depan.

Ahmad Faizal juga memuji sokongan padu Ultras Malaya serta penyokong yang memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Harimau Malaya.

"Alhamdulillah! Syabas skuad Harimau Malaya yang berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 setelah menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023.

"Malam bersejarah bola sepak negara, skuad Harimau Malaya berjaya layak secara merit selaku lima naib juara terbaik daripada enam kumpulan yang bersaing dalam aksi kelayakan.

"Kejayaan ini cukup bermakna buat seluruh Keluarga Malaysia. Teruskan fokus dan usaha untuk mencipta lebih banyak lagi kejayaan. Terima Kasih pemain ke-12! Kehadiran para penyokong memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil pada malam ini (malam tadi) cukup jelas memberi impak dalam menyuntik semangat kepada pemain-pemain negara.

"Sorakan tanpa henti Ultras Malaya memeriahkan suasana di stadium dan telah berjaya meniup semangat para pemain untuk beraksi dengan cemerlang! Teruskan sokongan padu anda!," katanya menerusi status di Facebook.

Untuk rekod, kali terakhir skuad negara beraksi di pentas tertinggi itu adalah pada 1980 di Kuwait selepas melepasi peringkat kelayakan secara merit, meskipun 2007 pernah berentap atas tiket tuan rumah kejohanan bersama Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 12:47 PM