PENGENDALI Sri Pahang FC, Gamel. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
PENGENDALI Sri Pahang FC, Gamel. FOTO Ihsan Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Christophe Gamel mengakui skuadnya bakal berdepan kesukaran apabila bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman, malam esok.

Jurulatih berasal dari Perancis itu berkata, ini kerana tuan rumah memiliki barisan pemain yang mantap dan lengkap.

"Pada masa sama, mereka sudah beraksi dalam dua perlawanan Liga Super berbanding Sri Pahang buat kali pertama musim ini.

"Namun, biarpun mengetahui KDA FC adalah sebuah pasukan yang kuat, semua pemain Sri Pahang sudah bersedia menyahut cabaran itu.

"Misi kami adalah untuk membawa pulang mata dan diharapkan ia menjadi kenyataan dengan semangat juang yang bakal dipersembahkan malam esok," katanya.

Mengenai persediaan Sri Pahang menentang KDA FC, Gamel mengesahkan bahawa daripada segi kecergasan anak buahnya tidak berada pada prestasi terbaik.

Bagaimanapun, katanya, daripada segi ketahanan mental, pemainnya mampu memberikan komitmen tinggi iaitu pada tahap 100 peratus.

"Apa yang perlu dilakukan pemain ialah mempamerkan persembahan meyakinkan sepanjang 90 minit perlawanan.

"Biarpun ada pemain yang baru kembali menyertai pasukan akibat Covid-19, saya percaya pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan utama mampu memberikan cabaran.

"Sebagai jurulatih saya sudah lakukan yang terbaik dan pemain yang diberi tanggungjawab diharap dapat melaksanakan tugas mereka dengan sebaiknya," katanya.

Pada perlawanan malam esok, ia adalah aksi pertama Sri Pahang pada saingan Liga Super selepas dua perlawanan sebelum ini terpaksa ditunda.

Dua perlawanan itu membabitkan pertemuan dengan Terengganu FC dan disusuli Selangor FC, masing-masing pada 5 dan 8 Mac lalu, yang ditunda akibat sebahagian pemain dan pegawai pasukan itu dijangkiti Covid-19

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 5:18 PM