SYAAHIR Saiful Nizam. FOTO SRI PAHANG FC
SYAAHIR Saiful Nizam. FOTO SRI PAHANG FC
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) dilihat cukup berani apabila mempertaruhkan pemain muda dalam skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Setakat ini, skuad kendalian Fandi Ahmad mengumumkan tiga pemain muda, termasuk Syaahir Saiful Nizam untuk bersama membantu memperkasakan Sri Pahang.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sri Pahang FC, penyerang muda, Syaahir diumumkan menandatangani lanjutan kontrak dua musim bersama skuad Tok Gajah.

"Penyerang muda, Syaahir komited untuk kekal bersama Sri Pahang FC setelah menandatangani lanjutan kontrak selama dua musim.

"Syaahir antara tunjang barisan depan skuad Piala MFL SPFC dan telah meraih pendedahan di pentas Liga Malaysia bersama skuad senior sejak 2022.

"Kelab yakin potensi dan sentuhan pemain berusia 21 tahun ini akan dapat terus digilap dan diketengahkan sebagai penyerang tempatan berkualiti tinggi," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Sri Pahang mengumumkan dua pemain muda iaitu Mohamad Saiful Jamaluddin, 21 dan Nasyrullah Zaki, 22 menyarung jersi Tok Gajah dengan menandatangani kontrak dua musim.

Pengalaman Saiful yang juga pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara manakala Nasyrullah selaku penjaring terbanyak dengan lima gol skuad Piala MFL SPFC musim lalu diyakini mampu untuk membantu memperkasakan skuad senior.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2024 @ 6:19 PM