PEMAIN Manchester United bertepuk tangan ke arah penonton selepas tewas 0-1 kepada Crystal Palace pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu. FOTO REUTERS
PEMAIN Manchester United bertepuk tangan ke arah penonton selepas tewas 0-1 kepada Crystal Palace pada perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu. FOTO REUTERS
AFP

London: Avram Glazer mempertahankan kedudukan keluarganya sebagai pemilik Manchester United selepas musim bermasalah termasuk protes daripada penyokong.

Penyokong mendesak keluarga Glazer menjual United selepas musim mengecewakan apabila sekadar menduduki tempat keenam Liga Perdana Inggeris dan anak buah Ralf Rangnick tewas 0-1 di Crystal Palace, Ahad lalu.

Mereka hanya mampu mencapai 58 mata iaitu jumlah paling rendah dalam era Liga Perdana Inggeris.

Kegagalan layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan adalah tamparan terbaru buat juara Inggeris sebanyak 20 kali itu, yang hanya akan bermain di Liga Europa.
Pada hari pengurus baharu United, Erik ten Hag tampil pada sidang media pertamanya, Avram yang memiliki kelab itu bersama adik beradiknya iaitu Joel, Kevin, Bryan, Darcie dan Edward - mengaku ia adalah musim yang mengecewakan.

Dalam temu bual yang jarang dilakukan dengan Sky Sports, Glazer berkata: "Ini adalah musim yang mengecewakan buat semua dan kami akan bekerja keras untuk memastikan musim depan lebih baik."

Kali terakhir United menang Liga Perdana Inggeris adalah pada 2013 dan mereka tidak menjulang trofi utama sejak 2017.

Ditanya sama ada keluarga berasal dari Amerika Syarikat itu akan menyokong Ten Hag membina semula United, Glazer berkata: "Kami sentiasa mengeluarkan wang untuk membeli pemain baharu jika perlu."

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 9:44 AM