ERIK ten Hag. FOTO Reuters
ERIK ten Hag. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Pengurus Manchester United, Erik ten Hag membidas sikap pemainnya ketika tewas 0-4 kepada Brentford hujung minggu lalu ketika beliau menuntut kebangkitan prestasi apabila bertemu Liverpool, awal pagi Selasa ini.

Pengendali dari Belanda itu muncul pengurus paling teruk dalam tempoh 100 tahun selepas United tewas dua perlawanan pembukaan sekali gus menduduki tempat tercorot Liga Perdana buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun.

"Saya pasti tidak gembira. Perkara asas mesti bagus dan itu harus bermula dengan sikap yang betul.

"Anda memerlukan semangat juang tinggi di atas padang dan saya tidak melihatnya sejak minit pertama.

"Pemain tidak bermain dengan baik, banyak yang tidak kena. Anda tidak perlu bercakap mengenai apa-apa (taktikal) apabila sikap anda sendiri tidak betul," kata Ten Hag.

Permulaan buruk United pada musim ini di atas padang disusuli dengan jendela perpindahan mengecewakan selepas gagal mendapatkan pemain Barcelona, ​​Frenkie de Jong.

Bagaimanapun, gergasi England itu Inggeris itu berjaya mendapatkan seorang lagi pemain tengah dari La Liga, Casemiro dari Real Madrid.

Ten Hag enggan mengulas mengenai ketibaan pemain antarabangsa Brazil itu, tetapi memberikan sokongan kepada pemilik kelab iaitu keluarga Glazer.

Satu protes besar-besaran dirancang di luar Old Trafford menjelang perlawanan bertemu Liverpool dengan penyokong menuding jari ke arah pemilik dari Amerika itu berikutan kemerosotan prestasi United sejak sedekad lalu, iaitu selepas persaraan pengurus legenda, Alex Ferguson.

"Saya hanya boleh katakan pemilik kelab pasti mahu kemenangan. Kita perlu bersatu padu berjuang bersama-sama," kata Ten Hag.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2022 @ 9:27 AM