KELUARGA Glazer masih pemilik majoriti Man United. FOTO AGENSI
KELUARGA Glazer masih pemilik majoriti Man United. FOTO AGENSI
AFP

Manchester: Hampir setahun selepas Manchester United membuka pintu kepada pelaburan luar, jutawan Britain Jim Ratcliffe kelihatan bersedia untuk membeli 25 peratus kepentingan dalam kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Cadangan perjanjian yang dilaporkan bernilai £1.3 bilion (RM7.5 bilion) dijangka akan disahkan pada mesyuarat lembaga United, esok.

Tetapi hakikatnya keluarga Glazer akan kekal mengawal kelab itu sekali gus mencetuskan kekecewaan sebahagian besar penyokong yang mahu pemilik semasa itu meninggalkan United.

"Adalah tidak logik untuk berfikir bahawa keluarga Glazer bertindak demi kepentingan penyokong atau membuat keputusan yang tidak memihak kepada mereka," kata kumpulan penyokong Manchester United Supporters Trust (MUST) dalam satu kenyataan minggu ini.

Nasib United di dalam dan di luar padang terjejas sejak keluarga Glazer mengambil alih Old Trafford pada 2005 dengan harga £790 juta (RM4.56 bilion).

Bekas pengurus, Alex Ferguson mengekalkan kecemerlangan Red Devils di puncak liga dan Eropah selama bertahun-tahun pada awal pemilikan keluarga Glazer.

Bagaimanapun, United gagal memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Ferguson bersara pada 2013 dan kali terakhir menjulang Liga Juara-Juara pada 2008.

Permulaan yang mengecewakan musim ini menyebabkan anak buah Erik ten Hag menduduki tangga ke-10 di EPL dan berisiko tersingkir awal di kempen Liga Juara-Juara selepas tewas dua perlawanan pertama peringkat kumpulan.

Ratcliffe, pengasas gergasi petrokimia INEOS, dilaporkan akan berusaha untuk menguasai operasi bola sepak kelab itu sebagai membalas pelaburan besarnya.

Tetapi ramai yang mempersoalkan bagaimana pemilik minoriti boleh menguasai operasi utama kelab itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2023 @ 11:03 AM