PENJAGA gol Everton, Jordan Pickford bersorak selepas pasukannya menewaskan Chelsea 1-0. FOTO REUTERS
PENJAGA gol Everton, Jordan Pickford bersorak selepas pasukannya menewaskan Chelsea 1-0. FOTO REUTERS
Reuters

London: Jordan Pickford membuktikan sebab dia dipilih sebagai penjaga gol utama England dengan menampilkan ketangkasan ketika Everton menang 1-0 ke atas Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris, semalam, kata kaptennya, Seamus Coleman.

Everton mengesahkan kemenangan menerusi jaringan penyerang, Richarlison, tetapi mereka turut berterima kasih kepada Pickford apabila penjaga gol berusia 28 tahun itu menyelamatkan bola percubaan Cesar Azpilicuta di atas garisan gol - yang dianggap pengulas sebagai halangan terbaik musim ini.

"Tindakannya kembali ke garisan gol dan menyelamatkan bola itu adalah aksi kelas dunia dan kami kerap melihatnya ketika lain, jadi itulah sebab dia menjadi penjaga gol utama England - ketangkasannya memang kelas dunia," kata Coleman.

Pickford kemudian menghalang percubaan susulan Antonio Rudiger dengan mukanya sebelum menampan sepakan Ruben Loftus-Cheek di depan penyokong yang teruja di Goodison Park.

"Keadaan muka saya tidak terus. Saya pernah mengalami kejadian lebih teruk lagi," kata Pickford. "Ini sebabnya saya ada di padang, untuk menyelamatkan bola dan membantu pasukan."

"Ia adalah hasil kerjasama sepasukan dan berkaitan usaha mendapatkan tiga mata untuk pasukan, penyokong dan kelab. Saya benar-benar menikmatinya. Semua orang berjuang demi mata."

Bekas pemain tengah Everton, Leon Osman berkata, tindakan Pickford menyelamatkan percubaan Azpilicuta itu akan mengekalkan pasukan di liga utama.

Everton kini menduduki tempat ke-18, dua mata di belakang Leeds United, yang bermain lebih satu perlawanan.

"Tindakannya itu memang menakjubkan. Pickford dikritik kebelakangan ini kerana kerap melakukan kesilapan mudah," kata Osman kepada BBC.

"Tetapi, tidak hari ini. Ia adalah permainan terbaiknya untuk Everton pada perlawanan terpenting mereka musim ini."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 4:01 PM