SIGURDSSON meraikan jaringan kedua Everton bersama  Richarlison (kiri) manakala pemain Chelsea diselubungi kekecewaan di Goodison Park. - FOTO Reuters
SIGURDSSON meraikan jaringan kedua Everton bersama Richarlison (kiri) manakala pemain Chelsea diselubungi kekecewaan di Goodison Park. - FOTO Reuters
Reuters

JARINGAN penyerang Richarlison dan pemain tengah Gylfi Sigurdsson membantu Everton menewaskan Chelsea 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi sekali gus memberi tamparan hebat kepada The Blues menamatkan misi dalam kelompok empat teratas.

Pemain Brazil, Richarlison menjaringkan gol pendahuluan skuad Marcos Silva apabila menanduk masuk dari jarak dekat pada minit ke-49 susulan tampanan kurang kemas penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga.

Everton melebarkan kedudukan pada minit ke-72 apabila Sigurdsson menyempurnakan penalti selepas Richarlison dikasari Marcos Alonso. Walaupun pada awalnya ditampan Arrizabalaga namun bola muntah itu pantas ditolak masuk Sigurdsson untuk kedudukan 2-0.

"Lebih mudah untuk saya bercakap mengenai babak kedua. Babak pertama saya tak gemar keseluruhannya. Kami tidak berada di sana sejak minit pertama lagi,” kata Silva kepada Sky Sports.

"Saya beritahu pemain ketika rehat supaya mereka melakukan sesuatu yang berbeza. Mereka kembali mempamerkan sikap, karakter dan personaliti yang lebih baik.”

Everton berubah ‘wajah’ pada separuh masa kedua dan hampir menjaringkan gol dua minit selepas rehat apabila percubaan jarak dekat Andre Gomes diselamatkan penjaga gol Chelsea.

Mereka kemudiannya menguasai sebahagian besar perlawanan selepas itu.

Chelsea tidak bernasib baik apabila gagal menembusi gawang tuan rumah selepas mencipta permulaan memberangsangkan. Rembatan Eden Hazard diselamatkan Jordan Pickford pada minit keenam sebelum percubaannya terkena tiang seminit selepas itu dan percubaan penyerang Argentina Gonzalo Higuain diselamatkan di atas garisan gol.

Everton melonjak ke tangga ke-11 dengan 40 mata daripada 31 perlawanan manakala Chelsea di tempat keenam dengan 57 mata daripada 30 perlawanan, satu mata di belakang Manchester United dan tiga mata ketinggalan di belakang pasukan di tangga keempat Arsenal.

Jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri kehilangan kata-kata menjelaskan kekalahan skuadnya. “Saya tak tahu dan pemain juga tak tahu apa berlaku pada babak kedua,” katanya.

"Saya tak dapat menjelaskannya. Kami beraksi baik pada babak pertama dan sepatutnya menjaringkan empat atau lima gol tetapi tiba-tiba kami seperti berhenti bermain. Pelik...kami berhenti bertahan dan menyerang balas.

“Masalah utama ialah mental di atas padang. Jadi sistem dan taktik tak penting. Ia bukan mengenai motivsi kerana kami bermula baik. Kami perlu beraksi lapan perlawanan sekarang dan berjuang sebaik mungkin.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 7:19 AM